nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: MARA akan memperluaskan penawaran dan peluang tajaan pendidikan ke Türkiye dalam pelbagai bidang strategik.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya juga akan memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan syarikat dan pemain industri terkemuka di negara itu.
Katanya, ini termasuk pemain industri yang sudah dan bakal melabur di Malaysia bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Alhamdulillah, selesai dua hari lawatan kerja rasmi MARA ke Istanbul, Türkiye bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Lawatan ini cukup bermakna dalam usaha memperkukuh hubungan strategik Malaysia-Türkiye khususnya dalam bidang pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan teknologi,” katanya dalam kenyataan di media sosial, hari ini.
Beliau berkata, antara pengisian penting lawatan itu ialah pertemuan bersama Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan bagi memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Antara perkara penting yang dibincangkan termasuk memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, TVET, pembangunan modal insan serta pemindahan teknologi di institusi pendidikan tinggi terkemuka Turkiye.
“Delegasi turut mengadakan pertemuan bersama Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Türkiye (YÖK), Prof Dr Erol Özvar bagi meneroka ruang kerjasama strategik pendidikan tinggi dan TVET antara kedua-dua negara.
“MARA melalui Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) turut mengadakan sesi pemeteraian Letter of Collaboration (LOC) bersama dua universiti terkemuka Türkiye iaitu Sabancı University dan Yıldız Technical University,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama itu membuka peluang lebih luas dalam bidang pemindahan ilmu dan teknologi, program berkembar, dwiijazah, pertukaran tenaga pengajar serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang strategik seperti teknologi pertahanan, aeroangkasa, maritim, kejuruteraan dan teknologi.
“Ini adalah selaras dengan aspirasi Timbalan Perdana Menteri supaya lebih ramai anak Malaysia diberi peluang melanjutkan pengajian ke Türkiye.
“InsyaAllah, kita mahu kerjasama ini berterusan dan memberi ruang kepada pelajar Malaysia untuk belajar di Turki serta dapat menerobos pasaran industri antarabangsa melalui kepakaran di negara berteknologi tinggi seperti Turkiye,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan lebih ramai pelajar Malaysia berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di Turkiye tahun depan apabila MARA merancang untuk menggandakan jumlah pengambilan pelajar tajaannya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, langkah itu sebahagian usaha memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd