am@hmetro.com.my
Langkawi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melancarkan operasi bagi mengesan saki-baki pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar yang dilaporkan menuju ke Langkawi.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, berkata operasi GUARD Bilangan 4/2025 diaktifkan susulan laporan mengatakan dua lagi bot yang dipercayai membawa PATI berada di laut.
“Maritim Malaysia mengaktifkan Operasi GUARD Bilangan 4/2025 dan pada masa sama meningkatkan rondaan bagi mengesan saki baki PATI dari Myanmar yang dilaporkan menuju ke Langkawi.
“Tindakan pantas itu susulan penahanan 196 PATI Myanmar oleh polis di Pantai Teluk Yu jam 3.25 pagi tadi, selepas bot yang membawa mereka terkandas di perairan terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini, petang ini.
Beliau berkata, pihaknya turut dimaklumkan terdapat dua lagi bot yang dipercayai membawa PATI Myanmar berada di laut, namun lokasi sebenar masih belum dapat dikenal pasti.
“Maritim Malaysia menggerakkan bot dan kapal ke lokasi dimaklumkan, membuat rondaan di sekitar perairan Utara Langkawi serta di kawasan sempadan negara, selain turut mengatur gerak pesawat udara.
“Kita turut berhubung dengan pihak penguat kuasa di Thailand untuk mengenal pasti sama ada pergerakan dua bot yang membawa PATI terbabit dikesan di perairan negara berkenaan,” katanya.
Mohd Rosli berkata, sehingga kini tiada sebarang petunjuk berkaitan kehadiran dua bot berkenaan dalam perairan negara.
“Justeru, komuniti maritim sekitar Langkawi diminta menyalurkan maklumat segera ke talian 999 atau Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi di talian 04-9662750 atau 011-58925868 jika terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan di perairan negara,” katanya.
Untuk rekod, sejumlah 2,089 PATI Myanmar serta 18 bot ditahan Maritim Malaysia dan agensi penguat kuasa lain dari tahun 2010 hingga 2024 ketika cuba masuk ke negara ini.
Terdahulu, media melaporkan sejumlah kira-kira 200 etnik Rohingya yang menaiki sebuah tongkang mendarat di Pantai Teluk Yu, berhampiran Ayer Hangat di sini, kira-kira jam 3 pagi tadi.
Maklumat pendaratan kumpulan pendatang tanpa izin itu tersebar menerusi media sosial selepas dikongsi penduduk tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




