Mark Adam sebagai penyampai radio Hot FM baru

Petaling Jaya: Penyanyi dan pelakon Mark Adam diumumkan sebagai pengganti Shuk Sahar sebagai penyampai radio Hot FM bermula hari ini.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam akaun Instagram rasmi Hot FM @hotfm976, Mark akan bersama-sama dengan Fizie mengendalikan segmen Geng Pagi Hot (GPH) bermula hari ini bagi menggantikan Shuk Sahar yang digantung tugas sementara.

“Geng baharu @fizie_hotfm, lepas ni kita buat tiktok hari-hari okay @markadam1079,” tulisnya.

Sementara itu, Mark atau nama sebenarnya Fikri Mark Adam Abdullah, 42, menerusi Instagramnya turut meluahkan rasa teruja dengan tawaran istimewa tersebut.

“Bismillah. Assalamualaikum semua. Syukur alhamdulillah dengan peluang dan rezeki yang diberikan.

“Dalam kerjaya ini, saya tahu betapa besarnya tanggungjawab, saya berjanji untuk melakukan yang terbaik setiap hari untuk semua, Insya-Allah.

“Geng, jom dengarkan @hotfm976 bersama saya dan @fizie_hotfm. Lebih Hangat Daripada Biasa,” tulisnya.

Terdahulu, GPH dikendalikan tiga orang penyampai iaitu Fizie, Shuib Sepahtu dan Shuk Sahar.

Namun pada penghujung Januari lalu, Shuib telah mengambil keputusan untuk menamatkan tugas secara sukarela kerana ingin memberi tumpuan kepada perniagaan.

Pada 25 Januari lalu, pengurusan Hot FM telah menggantung sementara tugas Shuk ekoran terpalit kontroversi rumah tangga.

Sehingga kini, pihak pengurusan menjelaskan isu tersebut masih dalam perbincangan dan sebarang pengumuman akan diumumkan kelak.

Sumber: K! ONLINE