Mark Natama curang dalam percintaan?

Mark Natama curang dalam percintaan?

bhhip@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Finalis program realiti, Indonesia Idol, Mark Natama, 21, berhasrat melebarkan sayap perjuangan muziknya ke Malaysia.

Baru sahaja melancarkan single kedua berjudul Terluka Menginginkanmu, Mark mengharapkan karya dan kehadirannya diterima di Malaysia.

Jika sebelum ini jejaka berasal dari Medan, Indonesia itu mempertaruhkan single bergenre muzik pop dengan suntikan R&B.

Namun, untuk single kedua, Mark memilih nuansa pop balada bersama irama romantis untuk single Terluka Menginginkanmu.

Masih berkerja bersama trio pencipta lagu hit Indonesia, Laleilmanino, Mark atau nama sebenarnya, Mark Natama Seragi berkata, single Terluka Menginginkanmu bertemakan percintaan mengisahkan perasaan lelaki yang terjebak dalam situasi tidak diinginkan sehingga dilihat jahat.

“Karya ini berkisar lelaki yang dilihat jahat dan dituduh curang. Dari sudut pandangan lelaki, dia tidak sengaja melakukannya, bukan menyakiti hati pasangannya,” katanya.

Menariknya, Mark masih bekerja dengan pasukan sama yang menghasilkan video muzik single pertamanya, Jago Cemburu untuk single Terluka Menginginkanmu.

“Lagu dan video muzik masih dihasilkan pasukan sama yang menghasilkan Jago Cemburu. Jadi, saya sangat memahami proses peralihan yang berlaku.

“Saya merasa diri semakin dewasa, baik dari penghasilan lagu dan video muzik,” katanya.

Video muzik digarap oleh rumah produksi dari 17A dengan Takun Arrosid bertindak sebagai sutradara.

Untuk konsep, Mark menjelaskan, hampir semua babak dibuat seolah-olah dirinya masih memikirkan seseorang yang dicintainya.

“Gambaran yang sesuai dengan apa yang dialami sejak dua tahun lalu. Jika boleh diungkapkan, mungkin gagal ‘move on’ selepas kecewa dalam percintaan.

“Penggambaran video muzik ini mengambil masa selama 25 jam. Ini kerana saya mahu video muzik secara terperinci supaya jalan cerita diterjemahkan difahami penonton,” katanya.

Mark berharap, mereka yang pernah berdepan kisah yang sama boleh mendapatkan titik cerah daripada situasi itu.

“Walaupun jalan cerita agak tabu, tetapi ia membabitkan perasaan yang tidak mampu dikawal. Bukan satu pihak sahaja yang terluka, tetapi kedua-duanya kerana menyangkal perasaan masing-masing.

“Saya harap menerusi lagu ini mereka yang melaluinya boleh menemukan titik penyelesaian,” tambah Mark.

Single Terlalu Menginginkanmu boleh didengar di semua platform digital, manakala video muzik boleh ditonton di Vevo/YouTube rasmi Mark Natama.

Terdahulu, kerjaya nyanyian Mark bermula apabila menyertai program realiti popular, Indonesia Idol pada tahun lalu.

Mahasiswa Institut Teknologi Bandung itu mendapat Golden Ticket selepas memukau juri dengan persembahan hebat ketika menyampaikan lagu One Only milik Pamungkas.

© New Straits Times Press (M) Bhd