Marquez juara pecut biarpun bersentuh dengan Acosta

Marquez juara pecut biarpun bersentuh dengan Acosta

Aragon: Marc Marquez dan Pedro Acosta masing-masing enggan menyalahkan sesiapa susulan insiden sentuhan antara mereka pada permulaan perlumbaan pecut MotoGP Aragon, semalam.

Pelumba Ducati dan KTM itu saling bergesel ketika menuju ke selekoh pertama, namun kedua-duanya sepakat bahawa ia hanya insiden lumba biasa.

“Ia satu insiden lumba. Saya sedikit ke belakang dan cuba membrek sekuat mungkin, terutamanya kerana anda perlu membrek kuat supaya peranti hadapan dan belakang motosikal berada dalam posisi yang betul.

“Insiden seperti ini sering berlaku apabila seseorang pelumba berdepan masalah ketika mula dan pelumba lain datang dengan kelajuan berbeza. Perbezaan kelajuan itu menyebabkan pertembungan, lebih-lebih lagi di selekoh 1 Aragon yang sememangnya antara selekoh paling mencabar,” jelas Marquez.

Acosta pula memberikan pandangan selari: “Dia (Marquez) tidak melakukan permulaan yang terbaik, dan saya pula datang terlalu laju.

“Mungkin dia mahu ke kiri dan tidak menjangka saya berada di situ. Dia terkena saya dan saya terkena dia, itu saja.

“Ia situasi lumba, perkara biasa,” kata Acosta.

Marquez jatuh ke tempat keempat sejurus insiden itu, namun kembali memintas Acosta selepas beberapa selekoh.

Kegagalan permulaan itu bagaimanapun tidak menghalang Marquez daripada menjuarai perlumbaan pecut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top