SPIELBERG BEI KNITTELFELD, Austria: Pelumba muka baharu, Jorge Martin dari Ducati-Pramac memenangi MotoGP pertamanya di Grand Prix Styria sebentar tadi.
Dia menamatkan saingan dengan selesa di depan rakan senegara yang juga juara bertahan dari Sepanyol, Joan Mir bersama jentera Suzuki.
Pendahulu kejuaraan dari Perancis, Fabio Quartararo dari Yamaha ketiga dalam perlumbaan yang terpaksa dimulakan kembali selepas jentera KTM penunggang Sepanyol, Dani Pedrosa dan wakil Aprilia, Lorenzo Savadori terbakar di tengah litar pada pusingan ketiga.
Martin, juara dunia Moto2, bermula dari petak depan dan menggunakan sepenuhnya kelebihan apabila perlumbaan kembali bermula, mendahului dan menamatkan perlumbaan 1.58 saat di depan Mir.
Kemenangan itu kembali menampilkan dominasi Ducati dekat Red Bull Ring, litar terpantas dalam MotoGP, ketika mereka menang lima perlumbaan berturut-turut sebelum Miguel Oliveira mengganggu rentak mereka bersama KTM tahun lalu. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




