New York: Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez mengakui dia kadangkala mengalirkan air mata apabila mengenang kejayaan luar biasa dicapai pasukannya sejak beberapa tahun lalu ketika mereka bersiap sedia mempertahankan kejuaraan Piala Dunia menentang Sepanyol pada final di Stadium MetLife, awal pagi Isnin.
Martinez berkata, fokus utama skuad kendalian Lionel Scaloni ketika ini hanyalah untuk memastikan trofi itu kekal menjadi milik Argentina.
“Saya hanya fokus untuk menang. Seluruh pasukan sudah banyak berkembang dan semua ini adalah hasil usaha yang kami bina selama bertahun-tahun,” kata penjaga gol Aston Villa itu kepada pemberita di New York.
Argentina muncul juara Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti pada final di Doha. Mereka turut memenangi Copa America pada 2021 dan 2024 selain menjuarai Finalissima 2022 dengan menewaskan Itali.
“Sejujurnya, ada kalanya saya menangis sendirian apabila mengenangkan apa yang kami sudah capai. Saya cuma mahu menikmati setiap detik ini kerana sebagai pemain bola sepak, kadangkala kita sendiri tidak sedar sejauh mana perjalanan kerjaya kita.
“Pesanan saya kepada rakan sepasukan ialah nikmatilah saat ini dan lakukan persiapan dengan senyuman. Inilah kenangan yang akan kekal bersama kami selama-lamanya,” katanya.
Martinez, 33, akan sentiasa dikenang penyokong Argentina menerusi aksi cemerlangnya pada Piala Dunia 2022, termasuk menyelamatkan percubaan Randal Kolo Muani pada saat-saat akhir masa tambahan yang menghalang Perancis menjaringkan gol kemenangan.
Pada final di Doha itu, Argentina mendahului 2-0 sebelum Kylian Mbappe meledak dua gol pada penghujung permainan untuk mengheret aksi ke masa tambahan. Lionel Messi kemudian meletakkan Argentina kembali di depan menerusi sepakan penalti, namun Mbappe melengkapkan hatriknya juga menerusi penalti sebelum Argentina menang menerusi penentuan sepakan penalti.
“Pada final lalu kami jauh lebih baik daripada Perancis selama 80 minit sehingga mereka mendapat penalti. Tetapi akhirnya kami tetap bolos tiga gol dan kebiasaannya jika anda melepaskan tiga gol dalam final, peluang untuk menang amat tipis.
“Saya hanya perlu melakukan satu aksi menyelamat pada penghujung perlawanan itu. Ada masanya bola terkena badan kita dan masuk ke gawang. Ketika menentang Jordan dalam saingan kumpulan Piala Dunia kali ini, bola terkena saya dan tetap masuk. Baru-baru ini pula bola melepasi celah kaki saya. Syukurlah dalam final 2022 ia tidak berlaku,” katanya.
Martinez berkata, dia lebih menikmati kempen Piala Dunia kali ini walaupun tiba ke kejohanan dalam keadaan masih belum pulih sepenuhnya selepas mengalami patah jari ketika beraksi bersama Aston Villa dalam final Liga Europa pada Mei lalu.
“Saya rasa permainan menggunakan kaki kini lebih baik, keputusan yang saya buat juga semakin matang dan saya amat bersyukur kerana dapat beraksi dalam final kelima bersama pasukan kebangsaan.”
Jika menewaskan Sepanyol, Argentina akan menjadi negara pertama sejak Brazil pada 1962 yang berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Dunia.
“Kebanyakan pemain dalam pasukan ini datang daripada keluarga kelas pekerja. Ibu bapa kami bekerja keras dan saya percaya rakyat Argentina akan mengingati kami sebagai pasukan yang sentiasa bekerja keras dan tidak pernah mengaku kalah.
“Walaupun berdepan kesukaran, kami sentiasa bangkit mengatasinya, sama seperti yang kami lakukan sepanjang kempen Piala Dunia kali ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




