sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persekutuan Akuatik Malaysia (MAS) mengambil tanggungjawab dengan ‘payung’ atlet yang berada dalam Kategori B untuk bertanding di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.
Presiden MAS, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, usaha itu menunjukkan pihak pengurusan sangat komited membantu atlet agar dapat mengambil bahagian di temasya dwitahunan berprestij itu pada Disember nanti.
“MAS komited menyokong perjalanan atlet kita ketika mereka bersedia bersaing di pentas serantau.
“Sukan SEA Thailand menjadi platform penting bagi pembangunan atlet, pembentukan semula pasukan dan persediaan strategik menjelang penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2027,” katanya.
Tambahnya, tujuan utama MAS adalah untuk meringankan beban kewangan dan membolehkan atlet memberi fokus sepenuhnya kepada acara akuatik yang disertai.
Terdahulu, pemenang pingat gangsa acara 400 meter (m) kuak individu dan 4x200m gaya bebas Sukan SEA Phnom Penh 2023 meluahkan rasa kecewa apabila namanya disenaraikan dalam Kategori B.
Katanya, dia sepatutnya berada dalam Kategori A susulan kejayaan pada edisi lalu, namun perkara itu tidak berlaku.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, MAS memaklumkan akan menanggung 50 peratus daripada kos penginapan penuh dan tiket penerbangan pergi balik bagi semua atlet Kategori B, selain menanggung sepenuhnya kos pegawai pasukan yang membabitkan lima disiplin akuatik renang, terjun, renang artistik, polo air dan renang perairan terbuka.
Untuk rekod, atlet Kategori B perlu menanggung sendiri kos penyertaan dan hanya akan menerima bayaran balik sekiranya memenangi pingat perak atau emas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




