Masa depan Greenwood bukan ditentukan Erik

Masa depan Greenwood bukan ditentukan Erik

LONDON – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag memberitahu bukan dia yang memutuskan sama ada Mason Greenwood akan kembali beraksi untuk kelab pada musim depan.

Namun pengendali Belanda itu mengakui pemain berusia 21 tahun itu telah mempamerkan prestasi mengagumkan dan boleh menjaringkan gol untuk United pada masa lalu.

Menerusi temu bual dengan The Times, Ten Hag ditanya sama ada dia memerlukan penyerang lain seperti Greenwood  untuk membantu Marcus Rashford di hadapan.

“Terbukti pada masa lalu dia boleh menjaringkan gol untuk United namun sebarang keputusan mengenai masa depan penyerang itu di United bukan terletak di tangan saya,” katanya.

United ketika ini masih menjalankan siasatan dalaman terhadap tuduhan yang dikenakan kepadanya sebelum ini yang mana tidak mungkin dapat diselesaikan sebelum musim panas.

Bagaimanapun, sumber menyebut Greenwood dilaporkan telah memberitahu beberapa rakannya bahawa dia ‘tidak akan bermain untuk United lagi.

Mail Sport melaporkan penyerang itu, yang telah menjaringkan 36 gol dalam 130 perlawanan untuk kelab pernah mengadakan pertemuan pertamanya secara bersemuka dengan Ten Hag pada Februari lalu.

Juventus baru-baru ini telah menyatakan minat untuk menandatangani Greenwood pada musim panas dengan perjanjian pinjaman jangka panjang.

Greenwood telah menandatangani kontrak baharu selama empat tahun pada Februari 2021 dengan bayaran gaji £75,000 seminggu.

Penampilan terakhirnya ialah ketika kemenangan 1 – 0 ke atas West Ham pada Januari 2022. – Agensi