Kempen Internet Selamat diperkasa di peringkat sekolah, IPT

JOHOR BAHRU: Kementerian Komunikasi akan mempergiat Kempen Internet Selamat di seluruh negara bagi meningkatkan tahap kesedaran ibu bapa mengenai larangan pendaftaran akaun media sosial bagi pengguna berusia bawah 16 tahun.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, ia merupakan mesej utama kerajaan bagi memastikan pemantauan dan bimbingan penggunaan internet terhadap anak-anak diperketatkan pada setiap masa.

Katanya, walaupun ibu bapa boleh mendaftarkan akaun media sosial untuk anak-anak mereka, langkah pencegahan dan kawalan perlu dibuat dengan ketat bagi mematuhi dasar yang ditetapkan kerajaan.

“Polisi Kerajaan Madani sekarang ialah anak-anak bawah 16 tahun tidak sepatutnya memiliki akaun media sosial dan inilah mesej utama kepada ibu bapa untuk memastikan penggunaannya dikawal.

“Ia bukan sekadar larangan, tetapi bimbingan dan didikan penting yang mana ibu bapa perlu mengawasi aktiviti dalam talian serta memastikan peranti seperti telefon bimbit atau tablet yang diberikan tidak disalahgunakan,” katanya pada sidang akhbar selepas Konvensyen PIBG Kempen Internet Selamat di Dewan Serbaguna Sri Tebrau, di sini hari ini.

Menurut Nie Ching, tindakan susulan akan diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap sebarang aduan salah guna akaun membabitkan golongan bawah umur dengan mengemukakan laporan kepada penyedia platform digital untuk menurunkan akaun terbabit.

Katanya, penganjuran Kempen Internet Selamat siri keempat di Johor yang memfokuskan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dijadikan platform utama untuk meluaskan pemahaman tersebut, sebelum jelajah diteruskan ke Sabah pada September dan Sarawak pada Oktober ini.

“Kita mahu ibu bapa cakna dan mengawal aktiviti anak-anak di media sosial yang boleh mendedahkan mereka kepada pelbagai ancaman serta menjadikan mereka mangsa penipuan.

“Kerjasama pihak sekolah dan PIBG dengan MCMC menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut dialu-alukan bagi penganjuran program kesedaran sedemikian di peringkat komuniti masing-masing,” katanya.

Beliau turut berpuas hati dengan pelaksanaan kempen tersebut selepas melibatkan penyertaan sebanyak 5,946 Sekolah Kebangsaan (SK), 2,416 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), 1,285 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) serta 524 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Selain institusi sekolah rendah dan menengah, kempen tersebut turut dilaksanakan dengan melibatkan 68 Institusi Pengajian Tinggi (IPT), 67 Kolej Tingkatan Enam atau Kolej Vokasional serta enam Institut Pendidikan Guru (IPG).-UTUSAN

Scroll to Top