am@hmetro.com.my
Bandar Seri Begawan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Dihormati (DK) daripada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, hari ini.
Anugerah itu membawa gelaran Dato Laila Utama dan dianugerahkan kepada kerabat terdekat, ketua negara, ketua kerajaan atau pembesar luar negara.
Penganugerahan itu sebagai penghormatan hubungan dua hala serta kepada pembesar negeri atau tokoh yang memegang jasa bakti amat besar kepada Sultan dan negara.
Istiadat penganugerahan darjah itu yang berlangsung di Istana Nurul Iman di sini, disaksikan tiga putera baginda, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah, Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Turut hadir pada istiadat yang berlangsung di Cheradi Ratna Kenchana, Istana Nurul Iman itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pemimpin Malaysia lain yang pernah menerima anugerah sama ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2010, Datuk Seri Najib Razak (2010) dan Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud (2014).
Anwar yang tiba di sini petang semalam, mengadakan lawatan kerja dua hari ke Brunei bagi menghadiri Mesyuarat Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 (ALC-27) bersama Sultan Brunei di Istana Nurul Iman.
Beliau kemudian mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Brunei bagi membincangkan isu jerebu rentas sempadan, isu sempadan darat dan laut, isu sektor tenaga serta kemudahan laluan penduduk Brunei ke Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri dan Sultan Brunei juga menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pengurusan Bencana yang akan ditandatangani oleh menteri-menteri berkaitan kedua-dua negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd
