KEBIASAAN pada bulan Ramadan, masjid dan surau akan dipenuhi dengan umat Islam yang berlumba-lumba untuk mengerjakan ibadah dan merebut pahala yang berganda.
Tidak kira golongan dewasa, warga emas dan remaja, bahkan kanak-kanak juga turut sama mengambil peluang untuk berada di masjid bagi merasai suasana beribadah pada bulan yang penuh kemuliaan ini.
Bagaimanapun, terdetik perasaan serba salah terutamanya bagi golongan ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil.
Persoalan yang sering bermain di minda mereka, apakah anak-anak ini akan mengganggu ketenangan para jemaah yang sedang solat nanti dengan membuat bising?
Atas pertimbangan tersebut, ada ibu bapa muda membatalkan hasrat untuk beribadah di masjid.
Bagi meraikan golongan tersebut dan menyelesaikan masalah mereka, pihak masjid mula membuka ruangan khas untuk kanak-kanak.
Naqib Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Ustaz Ahmad Fakhruddin Mohd Tahir menjelaskan, pihaknya mengambil inisiatif untuk mengadakan program khas untuk kanak-kanak ini bermula selepas negara berjaya menangani pandemik Covid-19 sekitar tahun 2023.

USTAZ AHMAD FAKHRUDDIN
“Selepas beberapa ketika masjid ‘sunyi’ disebabkan keterbatasan akibat Covid-19, pihak masjid mula memikirkan cara untuk menarik kembali jemaah untuk datang ke masjid, khususnya daripada kalangan anak muda dan kanak-kanak.
“Masuk bulan Ramadan tahun 2023, masjid mula mengadakan ruangan khusus untuk kanak-kanak bermain di bawah program Kidszone Ramadan,” katanya sebagai pembuka kalam ketika ditemui Sinar Islam Plus.
Ibu bapa tenang, khusyuk beribadah
Menurutnya, pada ketika itu, kehadiran ibu bapa dan anak-anak semakin meningkat dan ibu bapa tidak perlu risau untuk menjaga anak-anak mereka serta boleh menumpukan sepenuh perhatian dengan ibadah bersama imam dan jemaah lain.
Mengulas lanjut, Ustaz Ahmad Fakhruddin menjelaskan, atas alasan itulah yang menjadi antara matlamat utama program tersebut diadakan bermula 1 hingga 25 Ramadan setiap tahun.
“Antara lain kita mahu melihat kanak-kanak ini hadir ke masjid dan merasai suasana beribadah bersama dengan ibu bapa mereka dalam keadaan yang tenang dan terkawal.

ANTARA aktiviti yang disukai kanak-kanak ialah mewarna. Foto Facebook Masjid Wilayah Persekutuan
“Biarlah mereka datang ke masjid untuk tujuan bermain di Kidszone Ramadan ini. Sekurang-kurangnya mereka ada keinginan untuk hadir ke masjid.
“Kesannya bukan untuk dikecapi sekarang, namun apabila kanak-kanak ini membesar lima hingga sepuluh tahun akan datang, mereka sudah ada perasaan cintakan masjid,” jelasnya.
Begitu juga pihak masjid tidak mahu jemaah melihat kanak-kanak sebagai satu gangguan untuk mereka beribadah dan merasakan golongan ini perlu dijauhkan, ujarnya.
“Dengan penganjuran program seumpama ini, kita dapat menyelamatkan keadaan tersebut dan membuang rasa skeptikal segelintir jemaah yang tidak sukakan kanak-kanak ini,” katanya.
Sambutan baik, terpaksa hadkan bilangan kanak-kanak
Mengulas mengenai aktiviti yang diadakan pada Kidszone Ramadan, beliau yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan, terdapat empat aktiviti yang dilakukan pada setiap malam.
“Seawal pukul 8 malam kita telah membuka ruangan kanak-kanak ini melibatkan kanak-kanak berusia tujuh tahun dan kebawah.

HASIL lukisan yang diwarna kanak-kanak ditampal di dinding. Foto Masjid At-Taqwa TTDI
“Bersama dua petugas, mereka akan melakukan aktiviti mewarna, menonton tayangan, bermain istana mini dan kolam bola,” ujarnya.
Bagi kanak-kanak berusia 8 tahun dan ke atas pula, pihak masjid akan mengajak mereka untuk mengerjakan solat berjemaah bersama para jemaah lain, katanya.
“Setiap malam, ruangan Kidszone Ramadan ini memang meriah dan mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa hinggakan kita terpaksa membataskan penyertaan kepada 80 orang kanak-kanak pada setiap malam.
“Bukan ahli kariah juga turut sama dalam program kali ini, ada antara mereka yang datang dari Gombak dan Shah Alam serta kawasan sekitar Lembah Klang,” jelasnya.
Ujar Ustaz Ahmad Fakhruddin, maklum balas daripada ibu bapa juga setakat ini sangat positif setakat penganjuran progam berkenaan.

ANAK-ANAK yang membesar dalam suasana ibadah di masjid akan menjadi pelapis kepada jemaah masjid pada masa hadapan. Foto Canva
Walaupun masih ada kelemahan yang perlu dibaiki, pihaknya berharap ibu bapa, jemaah dan kanak-kanak masing-masing memperoleh manfaat daripadanya.
“Alhamdulilah, perkembangan baik untuk program seumpama ini apabila semakin banyak masjid yang menganjurkannya.
“Pada tahun 2024, hanya 10 masjid di Wilayah Persekutuan yang menganjurkan program seperti Kidszone ini dan bilangan masjid yang melaksanakan program tersebut semakin bertambah. Ini menunjukkan program ini semakin diterima baik masyarakat,” jelasnya.
Harapannya agar penganjuran seperti Kidszone Ramadan ini dapat diberbanyakkan lagi, bukan sahaja di ibu negara, bahkan dilaksanakan juga di masjid-masjid seluruh negara agar generasi muda semakin mencintai rumah ALLAH itu sekali gus melahirkan pelapis yang membesar dalam suasana suka beribadah dan hatinya dekat dengan masjid.