am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Masjid dan surau di seluruh negara digalak memperbanyakkan bacaan al-Quran sempena sambutan Nuzul al-Quran, esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, program utama dianjur menjelang Nuzul al-Quran pada setiap tahun ialah Quran Hour (QH).
Menurutnya, pada 25 Mac ini, QH akan diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan bakal dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Katanya, ia adalah sebahagian usaha untuk memartabatkan al-Quran dan supaya al-Quran dihayati sama ada di peringkat nasional mahupun negeri.
“Di peringkat Persekutuan, kita akan buat QH di masjid-masjid di bawah Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan juga di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
“Di negeri-negeri, kita galakkan (baca al-Quran) kerana yang di bawah negeri bergantung kepada bidang kuasa negeri.
“Kita harapkan agar bersempena Nuzul al-Quran, masjid-masjid dan surau memperbanyakkan aktiviti-aktiviti dan juga program untuk menggalakkan masyarakat Islam membaca al-Quran dan mentadabbur al-Quran,” katanya.
Beliau ditemui pada Program Santuni Komuniti Madani Bersama Pemandu Bas/ Teksi Kuala Terengganu dan Agihan Bubur Lambuk di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
Menurutnya, paling penting adalah menghayati al-Quran hingga berjaya membentuk masyarakat yang mempunyai akhlak dan budi pekerti yang mulia.
Beliau berkata, dijangkakan 4,000 ke 5,000 orang bakal menghadiri proram Quran Hour nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




