Matrade tingkatkan sasaran jualan MIHAS 2026 kepada RM5 bilion

KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menaikkan sasaran jualan bagi Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 kepada RM5 bilion berbanding sasaran awal RM4.5 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, sasaran awal adalah RM4.5 bilion, sedikit lebih tinggi berbanding RM4.3 bilion yang dicatatkan tahun lalu namun kini pihaknya yakin mampu mencapai angka lebih tinggi.

“Sasaran kami untuk MIHAS 2026 adalah RM5 bilion berikutan sambutan amat menggalakkan daripada pembeli dan pengimport antarabangsa,” katanya pada sidang media bersama Matrade dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2026 di Menara Matrade baru-baru ini.

Menurut beliau, Matrade menerima lebih 500 permohonan daripada pembeli dan pengimport antarabangsa untuk acara tahun ini, melebihi sasaran 300 pembeli.

Penganjuran MIHAS edisi ke-22 yang bakal berlangsung dari 23 hingga 26 September depan menyasarkan 2,400 reruai dengan penyertaan dari sekurang-kurangnya 45 negara dengan pempamer Malaysia merangkumi kira-kira 70 peratus manakala pempamer antarabangsa 30 peratus.

“Daripada pembeli antarabangsa berkenaan, 50 merupakan pembeli premium dari pasaran termasuk Kanada, Chile dan Brazil dengan jumlah hasil tahunan gabungan kira-kira RM500 bilion.

“Seramai 18 atau kira-kira 36 peratus merupakan pembeli berulang manakala selebihnya pembeli premium baharu,”katanya.

Matrade turut menjadi platform memudah cara pertemuan antara 600 syarikat Malaysia dengan 300 pembeli antarabangsa menerusi Program Sumber Antarabangsa (International Sourcing Programme) dengan kira-kira 4,000 pertemuan padanan perniagaan dijangka diadakan.

Sebagai platform perdagangan dibawah naugan GHaS, buat julung kalinya MIHAS 2026 turut akan menampilkan komponen Women in Export bagi memperkasa lebih banyak perniagaan milik wanita untuk menyertai industri halal serta mengembangkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran antarabangsa.

Ia turut menampilkan keupayaan Agentic AI yang direka bagi mempermudah proses pendaftaran, agar lebih lancar bagi pembeli, pempamer serta pengunjung.

Platform AI ini secara pintar memudahkan pemadanan perniagaan (B2B) sekali gus membolehkan rakan kongsi berpotensi termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan serta syarikat peringkat pertengahan (MTC) saling berhubung dengan berkesan sebelum berjumpa di ruang pameran.

Sejak diperkenalkan pada 2004, MIHAS kini merangkumi 14 sektor, daripada makanan dan minuman serta farmaseutikal hingga kewangan Islam, fesyen sopan, penjagaan diri, teknologi, perkhidmatan dan pelancongan mesra Muslim.

Sementara itu, bercakap tentang GHaS 2026, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, penganjuran GHaS 2026 memperkukuh posisi Malaysia sebagai hub halal yang diyakini selain meluaskan peluang pengeksport Malaysia dan rakan kongsi antarabangsa.

“GHaS 2026 yang merupakan inisiatif kolaborasi bersama antara Jakim dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berserta agensi-agensinya termasuk Matrade berfungsi sebagai platform utama negara sebagai peneraju global dan penanda aras bagi industri halal.

“Ia juga merupakan platform global untuk penyatuan pihak berkuasa halal, badan-badan pensijilan, warga akademik dan peneraju industri di bawah satu visi bersama berasaskan integriti dan inovasi,” katanya.

Ujarnya, menerusi komponen utama seperti Konvensyen Badan Pensijilan Halal dan sesi pembangunan kapasiti teknikal, pihaknya mahu menangani cabaran moden yang kompleks seperti isu-isu fiqh kontemporari, teknologi makanan baharu dan pematuhan piawaian kawal selia global sambil memperkukuh standard emas Malaysia dalam tadbir urus halal.

Scroll to Top