am@hmetro.com.my
Alor Setar: Mayat lelaki tidak berpakaian ditemukan terapung di Sungai Alor Merah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima laporan pada 8.31 pagi daripada orang awam.
“Hasil siasatan awal mendapati mayat berkenaan dipercayai seorang lelaki.
“Pemeriksaan mendapati, mayat berkenaan sudah mereput yang menunjukkan mangsa kemungkinan meninggal dunia beberapa hari lalu.
“Bagaimanapun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat berkenaan dan setakat ini identiti mangsa masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siti Nor Salawati berkata, mayat terbabit dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, untuk bedah siasat.
Beliau meminta mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga dalam tempoh terdekat supaya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh bedah siasat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




