Pengorbanan ibu, isteri akan diganjari Allah SWT

Pengorbanan ibu, isteri akan diganjari Allah SWT

– Advertisement –

ALOR SETAR: Wanita adalah golongan yang menyumbang bakti serta meraih pahala banyak di bulan Ramadan kerana bertungkus lumus menyediakan makanan untuk berbuka dan bersahur ahli keluarga.

– Advertisement –

Demikian antara intipati tazkirah ringkas oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat yang dimuat naik ke media sosialnya hari ini.

“Merekalah orang pertama yang bangun di kala yang lainnya, masih nyenyak tidur. Dengan penuh kasih sayang melangkah ke dapur, menghidupkan api, dan mula menyediakan juadah sahur buat keluarga tercinta,” katanya.

Ujarnya lagi, tanpa merungut, si ibu atau di isteri ini bingkas menyeduk nasi, lauk pauk serta menyediakan minuman, walaupun matanya masih mengantuk.

“Mereka lakukan ini bukan sekadar tugas tetapi tanda kasih dan inilah pengorbanan yang tidak ternilai.

“Mereka insan pertama yang bangun dan sering kali juga menjadi insan terakhir yang menjamah makanan, kerana mereka lebih mengutamakan suami dan anak-anak.

“Tanpa keluhan, tanpa meminta balasan, mereka hanya mengharap redha Allah dan kebahagiaan keluarga,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau itu lagi.

Justeru, kata Dato’ Azam, pengorbanan yang mulia itu disediakan Allah ganjaran yang besarnya pahalanya.

Sepertimana ujar beliau, Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, ‘Barang siapa memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa sedikitpun,’ riwayat At-Tirmidzi dan disahihkan oleh Al-Albani.

Selain itu, kata Dato’ Azam, kesabaran bagi mereka yang berkhidmat kepada keluarga dengan ikhlas juga akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

“Oleh itu, wahai para ibu dan isteri yang mulia, ketahuilah bahawa setiap kepenatan kalian dalam menyiapkan sahur tidak akan sia-sia. Setiap langkah menuju dapur, setiap suapan yang kalian hidangkan, setiap doa yang kalian bisikkan, semuanya diperhitungkan oleh Allah.

“Semoga Allah melipat gandakan pahala buat kalian dan mengurniakan keberkatan dalam kehidupan dunia serta akhirat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Scroll to Top