Mbappe mahu bawa Perancis ke final

Mbappe mahu bawa Perancis ke final

EAST RUTHERFORD: Penyerang Perancis, Kylian Mbappe mahu memberi fokus kepada misi menjulang trofi Piala Dunia 2026 berbanding mengejar rekod peribadi.

Mbappe kini muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis apabila meledak dua gol ketika Les Blues menewaskan Senegal 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan I.

Menurut kapten Perancis itu, misi sebenar semua pemain dan pihak pengurusan Les Bleus adalah untuk mara ke final dan merangkul gelaran dunia ketiga

“Saya bermain untuk mencipta sejarah buat negara saya dan memastikan pasukan mara ke final serta memenangi Piala Dunia.

“Ini baru perlawanan pertama peringkat kumpulan. Ramai mungkin terlalu teruja atau terlalu cepat mengkritik, tetapi kami perlu kekal tenang dan fokus terhadap apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Mbappe menjadi watak utama apabila meledak dua gol ketika menewaskan Senegal, sekali gus mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Les Bleus dengan 58 gol antarabangsa.

Jaringan berkenaan membolehkannya memintas rekod 57 gol milik Olivier Giroud selain meneruskan rekod cemerlangnya di pentas Piala Dunia.

Mbappe kini mengumpul 14 gol dalam saingan Piala Dunia, mengatasi legenda Brazil, Pele (12 gol), serta Lionel Messi dan legenda Perancis, Just Fontaine yang masing-masing menjaringkan 13 gol.

Pemain berusia 27 tahun itu kini menyamai catatan legenda Jerman, Gerd Muller, dan hanya dibezakan satu gol di belakang legenda Brazil, Ronaldo Nazario, serta dua gol daripada pemegang rekod sepanjang zaman, Miroslav Klose yang meledak 16 gol.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps, mengakui dia lega melihat anak buahnya melepasi ujian pertama selepas berdepan tentangan sengit Senegal.

“Kami sedikit gementar pada permulaan permainan, tetapi Senegal adalah pasukan yang bagus. Yang penting kami berjaya memulakan kempen dengan kemenangan,” katanya.

Scroll to Top