Paris: Kylian Mbappe menarik balik aduannya mengenai gangguan moral terhadap bekas kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG), menurut salah seorang peguamnya kepada AFP, hari ini.
“Kami menarik balik tindakan sivil kami,” kata Pierre-Olivier Sur menjelang perlawanan separuh akhir Piala Dunia Kelab antara pasukan Mbappe sekarang, Real Madrid dan PSG, awal pagi Khamis.
Bulan lalu, Pejabat Pendakwaraya Paris mendedahkan siasatan dibuka selepas Mbappe membuat aduan berhubung layanan yang diterimanya daripada PSG pada awal musim 2023-24.
Dia percaya dirinya diketepikan oleh PSG dan dipaksa menjalani latihan bersama pemain yang ingin dilepaskan kelab selepas enggan menandatangani kontrak baharu.
Amalan seperti ini pernah menimpa beberapa pemain lain dan mendorong kesatuan pemain bola sepak Perancis memfailkan aduan tahun lalu.
Mbappe tidak dijemput menyertai jelajah pramusim ke Asia pada 2023 dan terlepas perlawanan pertama musim itu, namun kemudian kembali ke pasukan utama selepas mengadakan perbincangan dengan kelab.
Pemain berusia 26 tahun itu menyertai Real Madrid musim panas lalu selepas tujuh musim bersama PSG.
Dia menjaringkan 256 gol dalam 308 perlawanan untuk kelab Perancis itu, yang memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali pertama musim lalu selepas pemergiannya.
Kapten Perancis itu kini turut terbabit dalam pertikaian undang-undang dengan PSG untuk menuntut bayaran tertunggak bernilai 55 juta euro (RM273.81 juta) yang dikatakan terdiri daripada gaji dan bonus.
© New Straits Times Press (M) Bhd




