MCDONALD’S Malaysia tampil menghulurkan bantuan segera dengan menyasarkan pengagihan lebih 6,000 hidangan makanan kepada mangsa kebakaran besar di perkampungan atas air, Kampung Bahagia di sini.
Inisiatif tersebut digerakkan susulan kejadian menyayat hati pada Ahad lalu yang memusnahkan kira-kira 1,000 rumah, sekali gus mengakibatkan ratusan keluarga kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan luar.
Sejurus bencana berlaku, pasukan McDonald’s Sandakan telah mengagihkan hampir 2,000 hidangan awal kepada mangsa, anggota barisan hadapan serta sukarelawan yang bertungkus-lumus di lokasi kejadian.
Komitmen tersebut diteruskan dengan agihan tambahan sebanyak 4,000 hidangan lagi di lima pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga hujung minggu ini bagi memastikan kebajikan mereka yang terjejas terbela.

Sejurus bencana berlaku, pasukan McDonald’s Sandakan telah mengagihkan hampir 2,000 hidangan awal kepada mangsa.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, dalam situasi sukar sebegini, semangat kebersamaan adalah kunci utama bagi meringankan beban mangsa.
“Dalam situasi seperti ini, yang paling penting adalah semangat kebersamaan agar tiada sesiapa yang perlu menghadapi dugaan ini bersendirian. Respons yang kita lihat di Sandakan mencerminkan tanggungjawab bersama, dan kami berharap usaha ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, misi bantuan di Sandakan kini berjalan rancak dengan penyelarasan padu daripada pelbagai agensi termasuk, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan sukarelawan tempatan.
Selain bantuan makanan, pihak berkuasa kini giat menjalankan penilaian kerosakan dan memastikan akses mangsa kepada tempat perlindungan serta keperluan asas mencukupi.

Misi bantuan di Sandakan kini berjalan rancak dengan penyelarasan padu daripada pelbagai agensi termasuk, JKM, PDRM, JBPM, Rela dan sukarelawan tempatan.
Menurut Azmir, tindakan pantas syarikat itu adalah sebahagian daripada DNA Program Komuniti @ McDonald’s yang melaksanakan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan setahun di seluruh negara.
Antara inisiatif lain yang turut digerakkan termasuklah agihan moreh ketika Ramadan, pembayaran zakat serta Program Santun Pelajar yang menyasarkan agihan satu juta hidangan kepada pelajar memerlukan menjelang akhir tahun ini.
“Di McDonald’s Malaysia, tujuan kami adalah untuk menyantuni dan menyokong komuniti setempat.
“Sama ada dalam waktu senang mahupun mencabar, kami komited untuk terus bersama masyarakat dan membantu dengan cara yang bermakna,” tambah beliau.



