Singapura: George Russell mempamerkan pemanduan sempurna dari petak utama untuk menjuarai Grand Prix (GP) Singapura bersama pasukan Mercedes menewaskan juara dunia dari Red Bull, Max Verstappen, hari ini.
Pelumba Britain itu menamatkan perlumbaan di bawah limpahan cahaya Litar Jalan Raya Marina Bay dengan kelebihan 5.4 saat di hadapan Verstappen, sekali gus meraih kemenangan keduanya musim ini.
Lando Norris memberi tekanan hebat kepada Verstappen pada penghujung perlumbaan namun terpaksa berpuas hati di tempat ketiga di depan rakan sepasukan, Oscar Piastri – keputusan yang cukup untuk memastikan McLaren merangkul kejuaraan pengeluar buat kali kedua berturut-turut.
Kedudukan Piastri dalam senarai pelumba kini dipotong kepada kelebihan 22 mata berbanding Norris, manakala Verstappen ketinggalan 63 mata di belakang pelumba Australia itu dengan baki enam perlumbaan musim ini.
Bagaimanapun, suasana di garaj McLaren agak suram walaupun meraikan gelaran pengeluar, selepas Piastri berang dengan tindakan Norris yang memaksa dirinya memotong rakan sepasukan itu di selekoh pertama.
© New Straits Times Press (M) Bhd



