anbia@hmetro.com.my
Aleppo: “Anak saya menderita kesejukan setiap hari. Saya hanya ada sehelai baju sejuk yang sudah terlalu sendat untuk dipakainya,” ujar penduduk daif Fatima Ali, 40.
Menurutnya, suhu sejuk di Syria sekitar 4 darjah Celsius ketika ini menyebabkan anaknya kesejukan dan sukar keluar rumah menjalani aktiviti.
Dia adalah antara 350 golongan daif yang menerima bantuan bungkusan pakaian musim sejuk disalurkan pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) melalui misi kemanusiaan di Syria bermula 19 Januari lalu.
Pada program bermula jam 3 petang semalam, beratus wanita membabitkan ibu tunggal, pelarian dalam negara serta golongan miskin berjaya dikenal pasti dan dikumpulkan untuk menerima agihan bantuan berkenaan.
Rata-rata mereka sabar berbaris sepanjang lebih 100 meter bersama anak masing-masing bagi mendapatkan pek pakaian baju sejuk.
Difahamkan tapisan nama dilakukan lebih awal oleh wakil MCM di Syria bagi memastikan hanya individu layak menerima bantuan berkenaan.
Fatima berkata, sumbangan pakaian musim sejuk itu amat besar maknanya dalam keadaan dia hanya memperoleh pendapatan Syrian Pounds 100,000 (RM50) sebulan sebagai tukang cuci.
© New Straits Times Press (M) Bhd