MCMC teroka 5G Broadcast

MCMC teroka 5G Broadcast

Putrajaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang meneroka teknologi penyiaran 5G (5G Broadcast) yang berpotensi mengubah landskap industri penyiaran negara dengan kaedah penyampaian terus kepada peranti tanpa memerlukan talian internet atau WiFi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, teknologi baharu itu sedang melalui sesi ujian sejak tahun lalu bagi meneliti aspek teknikal termasuk kemungkinan gangguan spektrum serta kesesuaiannya dalam pelbagai keadaan.

“5G Broadcast ini adalah satu mod penyiaran baharu yang membolehkan siaran terus dihantar kepada peranti tanpa menggunakan Internet atau talian mudah alih. Ia masih di peringkat percubaan, namun dijangka menjadi standard industri pada masa depan.

“Negara Eropah hanya akan mula menggunakannya sekitar tahun 2027 hingga 2030, jadi kita sekarang sedang bersedia dari segi kawal selia dan teknikal supaya Malaysia tidak ketinggalan,” katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian Persidangan 5G Broadcast di sini, hari ini.

Turut hadir timbalannya, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Rafiq Razali.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, MCMC kini memberi tumpuan terhadap penilaian teknikal bagi memastikan teknologi itu dapat digunakan tanpa menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi sedia ada.

Katanya, antara manfaat teknologi itu adalah ia boleh menambah baik pengalaman penonton bagi sesuatu acara melalui ‘venue casting’.

“Bayangkan ketika kejohanan sukan atau perarakan Hari Kebangsaan, penonton bukan sahaja dapat menonton dari rumah, tetapi mereka yang berada di lokasi juga boleh menyaksikan acara dari pelbagai sudut dengan resolusi lebih jelas serta seperti paparan 3D,” katanya.

Fahmi berkata, cabaran utama ketika ini adalah ketiadaan cipset khusus yang tersedia dalam peranti sedia ada bagi menyokong teknologi berkenaan dan ia dijangka hanya tersedia dalam generasi telefon pintar akan datang.

Selain aplikasi hiburan, beliau berkata, 5G Broadcast juga berpotensi digunakan untuk penyampaian maklumat kritikal, termasuk sistem amaran awal bencana, yang tidak lagi bergantung kepada SMS atau aplikasi tertentu.

“Teknologi ini sangat baharu, tetapi kita lihat potensinya amat besar. MCMC sedang meneliti dengan lebih mendalam, termasuk bersama rakan-rakan ASEAN sempena kepengerusian Malaysia, untuk merangka hala tuju dan masa depan penyiaran di rantau ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top