sukan@hmetro.com.my
Melaka: Melaka FC mempamerkan kebangkitan meyakinkan apabila membenam PDRM 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Kemenangan itu hadir tepat pada masanya buat skuad Hang Tuah yang sebelum ini bergelut dengan prestasi tidak menentu, sekali gus memberi impak positif di bawah kendalian jurulatih baharu, E Elavarasan.
Tuan rumah hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi tandukan Shahrel Fikri hasil hantaran Aroon Kumar, namun percubaan itu tersasar.
Melaka terus menguasai permainan dengan tekanan berterusan, namun PDRM yang mengharapkan serangan balas pantas hampir mengejutkan tuan rumah pada minit ke-32 menerusi percubaan Elisha Oluwasegun Kashim yang gagal menemui sasaran.
Bersambung babak kedua, kemasukan Mahali Jasuli memberi nafas baharu kepada jentera serangan Melaka, sekali gus mengubah tempo permainan.
Hasilnya, Shahrel akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-55 selepas menanduk masuk hantaran kemas Mahali untuk meletakkan Melaka di depan.
Tiga minit kemudian, kesilapan pertahanan PDRM dihukum apabila Badrul Effendy Fadli tertampan bola ke gawang sendiri, sebelum Abdul Azim Rahim melengkapkan kemenangan Melaka menerusi gol ketiga pada minit ke-90.
Keputusan itu bukan sahaja melegakan kem MFC selepas kekalahan besar sebelum ini, malah memberi sinar baharu kepada penyokong yang menyaksikan perubahan ketara corak permainan pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




