Melaka gubal garis panduan NGO urus jenazah di hospital

Melaka gubal garis panduan NGO urus jenazah di hospital

JASIN: Kerajaan negeri akan menggubal dasar dan garis panduan khusus bagi mengawal selia pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah di semua hospital di negeri ini.

Ia susulan aduan waris yang mendakwa menjadi mangsa caj perkhidmatan van jenazah walaupun pada awalnya dimaklumkan ia disediakan secara percuma.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pengurusan jenazah dikendalikan secara lebih tersusun, telus dan berintegriti.

Langkah itu juga bagi mengelakkan kejadian sama berulang sehingga membebankan waris yang sedang berdepan situasi kehilangan ahli keluarga.

Menurutnya, dasar dan garis panduan itu akan menetapkan syarat serta tatacara yang perlu dipatuhi oleh mana-mana NGO sebelum dibenarkan menjalankan perkhidmatan pengurusan jenazah di semua hospital di negeri ini.

Beliau berkata, antara cadangan yang sedang diperhalusi ialah mewajibkan NGO berkenaan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) serta mendapatkan pengiktirafan atau pendaftaran daripada MAIM.

“Susulan insiden yang berlaku baru-baru ini, pihak Exco telah dimaklumkan bahawa kerajaan Negeri menerusi MAIM akan menggubal satu dasar dan garis panduan berkaitan pengurusan jenazah oleh NGO.

“Sudah sampai masanya kita mempunyai garis panduan yang jelas supaya setiap tindakan dapat diselaraskan dan pengurusan NGO menjadi lebih teratur. Perkara ini akan dibincangkan oleh MAIM atau Mesyuarat Jawatankuasa Wakaf dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Masjid Jamek Al-Faizin, Kampung Bukit Tembakau, sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd Rustam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Md Azhan berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam memilih pihak yang menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah kerana terdapat NGO yang hanya berdaftar dengan ROS tetapi belum mendapat pengiktirafan daripada MAIM.

“Saya tidak menafikan masih ada NGO yang benar-benar menjalankan amanah dengan baik. Namun, kita mahu perkara ini diperkemaskan supaya semua pihak yang mengendalikan pengurusan jenazah mematuhi garis panduan yang akan ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan mana-mana pertubuhan atau NGO yang belum mendapat pengiktirafan MAIM supaya tidak menjalankan aktiviti pengurusan jenazah buat sementara waktu sehingga dasar berkenaan dimuktamadkan.

Katanya, ketika ini MAIM telah melantik pengurus jenazah secara rasmi di semua hospital kerajaan di Melaka dan waris hanya perlu berurusan dengan pihak hospital bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut.

“Pengurus jenazah yang dilantik secara rasmi oleh MAIM telah memenuhi syarat-syarat tertentu bagi memastikan pengurusan jenazah dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan serta menepati hukum syarak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MAIM turut menyediakan perkhidmatan van jenazah secara percuma kepada masyarakat.

“Tidak ada sebarang caj dikenakan bagi penggunaan van jenazah MAIM. Sekiranya orang awam ingin memberikan sumbangan, ia adalah secara sukarela dan terpulang kepada budi bicara masing-masing. Tiada kadar atau jumlah tertentu yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

 

Scroll to Top