Melaka wujudkan kembali pelancongan pendidikan

Melaka wujudkan kembali pelancongan pendidikan

am@hmetro.com.my

Melaka: Kerajaan negeri akan mewujudkan kembali sektor pelancongan pendidikan sebagai usaha mengekang daripada fakta sejarah diselewengkan pihak tidak bertanggungjawab.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, apabila sektor itu dilaksanakan kelak, ia akan membabitkan murid dan pelajar sekolah serta pelancong domestik.

“Pelancongan pendidikan ini saya sebut kerana ingin memastikan bahawa anak-anak kita di peringkat sekolah tahu sejarah yang betul, sejarah yang benar.

“Perkara ini mungkin pernah dibuat tetapi mungkin sudah dilupakan dan kita hendak wujudkan balik. Kita tidak mahu lagi kerana ada sesetengah pihak sekarang ini sudah menyelewengkan fakta sejarah yang sebenar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel Bukit Cina, di sini, malam ini.

Menurutnya, perbincangan bersama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) melalui Rektor Pendidikan dan Penyelidikan juga sudah diadakan.

“Sewaktu perjumpaan dengan PERZIM saya ada minta untuk babitkan pelajar peringkat sekolah mungkin dengan menyertai kursus atau program yang berkaitan.

“Untuk itu juga, kita kini dalam persiapan dengan melakukan baik pulih beberapa muzium kerana fasiliti ini kita kena siapkan dahulu dan ia perlu seiring,” katanya.

Sementara itu, mengulas sama ada kerajaan negeri akan menjadi Melaka sebagai hab pendidikan sejarah, beliau berkata perkara itu perlu diperhalusi terlebih dahulu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top