Kerajaan Melaka akan pastikan nasib anak Rubiah terbela

Kerajaan Melaka akan pastikan nasib anak Rubiah terbela

am@hmetro.com.my

Melaka: Kerajaan negeri akan memastikan nasib enam anak Allahyarham Rubiah Sabtu yang maut dibunuh suaminya dan kini dipelihara oleh keluarga bekas mentuanya di Taman Tangga Batu Perdana, Tanjung Kling, di sini, akan dibela sewajarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, pihaknya sedaya upaya akan membantu keluarga terbabit dalam membesarkan enam cucu menerusi pelbagai bantuan yang akan disalurkan agensi kerajaan berkaitan dalam masa terdekat.

“Bantuan itu bagi memastikan kelangsungan hidup anak-anak terbabit dalam meneruskan persekolahan dan kehidupan seperti orang lain.

“Di peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri akan berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Keluarga ini nak menampung enam cucu bukan mudah dan memakan masa lama, tambahan datuk mereka akan menjalani pembedahan jantung dan memerlukan wang yang banyak.

“Mungkin JKM boleh salur bantuan sara hidup dan persekolahan manakala JAIM, makanan dan lain-lain yang dirasakan perlu,” katanya ketika melawat keluarga berkenaan, di sini.

Ditanya mengenai persekolahan anak arwah, Tuminah yang juga Timbalan EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, pihaknya berharap mereka belajar di persekitaran sama dan perkara itu memerlukan masa untuk diselesaikan.

Untuk rekod arwah Rubiah mempunyai enam anak hasil perkahwinan selama 15 tahun dengan suami pertama Mohd Radzi Aziz, 38, iaitu Muhammad Daniel, 18; Muhammad Danish Hakim, 15; Nur Daniela Danissya, 11; Muhammad Adam Darwish, 9; Muhammad Danial Naufa, 7; dan Muhammad Dani Lutfi, 5.

Hasil perkahwinan dengan suami baharu mereka dikurniakan seorang bayi perempuan berusia tiga bulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top