MARANG – Empat pemimpin Melayu DAP dilabel sebagai ‘tidak belajar’ susulan tindakan mereka mendakwa tulisan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai mengeksploitasi Islam demi kepentingan politik dan bukannya sebuah penulisan berilmiah.
Kritikan tersebut dilemparkan terhadap artikel terbaharu Abdul Hadi menerusi ruangan Minda Presiden Pas yang bertajuk ‘Negara Islam dan Hubungannya dengan Bukan Islam’.
Empat pemimpin berkenaan ialah Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan; Penolong Setiausaha Publisiti, Young Syefura Othman; Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
“(Mereka) Melayu tak belajar. Tak belajar,” ujarnya ringkas ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.
Terdahulu, mereka mempersoalkan pendirian Abdul Hadi yang mengkritik DAP, sedangkan Pas pernah menjalin kerjasama dengan parti berkenaan menerusi gabungan Pakatan Rakyat (PR) suatu ketika dahulu.
Menerusi penulisan itu juga, Abdul Hadi menyifatkan, fahaman sekularisme sebagai ajaran sesat bawaan penjajah yang terus disebarkan secara bebas dan halus oleh media yang menyokong DAP.
Mengulas perkara tersebut, Abdul Hadi menegaskan bahawa setiap kenyataan serta penceritaan yang dikemukakan oleh beliau adalah berlandaskan hukum al-Quran, hadis, Perlembagaan DAP serta kenyataan rasmi bertulis daripada pemimpin parti itu sendiri.
”Apa yang saya cakap bernas (berteraskan) al-Quran dan hadis. Saya tulis berdasarkan al-Quran dan hadis… dan saya cakap apa yang ada dalam Perlembagaan DAP dan kenyataan pemimpin dia yang bertulis,” katanya.
Menjawab persoalan mengenai hubungan Pakatan Rakyat (PR) terdahulu, Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan bahawa sebarang bentuk kerjasama politik yang dimeterai Pas sentiasa berteraskan syarat ketat, iaitu tidak boleh menentang dasar parti.
Katanya, kerjasama berkenaan terbatal sebaik sahaja DAP mula menyerang dasar Pas dan melanggar garis panduan yang telah disepakati.
Jelas beliau, Pas hanya mula mengambil sikap tegas selepas DAP bertindak membuat kenyataan terbuka yang menyentuh dasar parti, antaranya membabitkan isu larangan penjualan arak kepada umat Islam di Kelantan serta bantahan terhadap Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355).
”Pengharaman arak di Kelantan adalah untuk orang Islam sahaja, bukan bukan Islam. Terbasuk RUU 355, padahal itu undang-undang Islam untuk mendidik, nak tukar hukuman sebat mencederakan kepada mendidik, tapi dia bangkang.
”Saya sendiri pernah berdialog dengan Lim Kit Siang, Karpal Singh, Lim Guan Eng dan Tan Seng Giaw. Bila kita terang, sebahagian mereka boleh terima, tetapi sebahagiannya dipecat atau disingkirkan daripada DAP, manakala sebahagian lagi takut orang Cina tidak mengundi mereka,” katanya lagi.