Melly dan peminat cipta lagu khas, spontan buat Palestin

Melly dan peminat cipta lagu khas, spontan buat Palestin

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Bukit Jalil: Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends: Malam Graduasi yang berlangsung malam tadi di Axiata Arena Bukit Jalil menyaksikan penyanyi Indonesia, Melly Goeslaw mencipta lagu untuk Palestin secara spontan di atas pentas. 

Dalam segmen khas itu, Melly menghadiahkan lagu itu kepada sesiapa sahaja yang ingin menggunakannya demi membawa mesej kemanusiaan buat rakyat Palestin. 

“Kita boleh meraikan konsert dan boleh berhibur, tapi kena sentiasa ingat akan situasi yang berlaku di Palestin. 

“Lagu ini saya hibahkan kepada sesiapa sahaja di sini yang ingin menggunakannya. Kalau ada yang nak gunakannya, saya dan dua penonton yang hasilkannya hadiahkan dengan ikhlas,” katanya. 

Melly juga menegaskan bahawa situasi yang berlaku di Palestin harus diberikan perhatian dan bukan hanya terbatas untuk agama atau bangsa tertentu sahaja. 

“Bukan kerana anda seorang yang beragama Islam, Kristian, Buddha, Hindu atau apa agama sekalipun. Tak perlu menjadi bangsa negara Malaysia, Indonesia atau apapun. 

“Tapi, kita perlu menjadi manusia dan melihat dari sudut kemanusiaan,” katanya. 

Dalam segmen itu, Melly menjemput dua penonton untuk naik ke pentas untuk menyertainya menghasilkan lagu istimewa itu dan meminta mereka memberikan beberapa kata sebagai lirik. 

Melly kemudiannya menggunakan kreativitinya secara spontan dan dengan iringan orkestra, satu lagu berjaya dihasilkan dan turut menitiskan air mata. 

Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends: Malam Graduasi dihangatkan dengan persembahan lagu-lagu popular Melly serta lagu-lagu yang pernah dipopularkan sahabat-sahabat seperjuangannya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Rossa, Marcel, Bunga Citra Lestari dan ramai lagi. 

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top