Penyanyi lagenda, Datuk M. Nasir bukan sekadar nama, tetapi satu figura hebat dalam bidangnya terutamanya dalam menghasilkan karya berkualiti yang kekal relevan sepanjang zaman.
Lagu-lagu ciptaannya sama ada bergenre balada, pop, rock, komersial, patriotik, mahupun lagu raya, pasti mendapat sentuhan magis sehinggakan menjadi antara lagu kegemaran peminat.
Lebih mengujakan, pemilik nama sebenar Mohamad Nasir Mohamed Sam, 67, ini bakal tampil dengan sebuah konsert berskala besar yang belum pernah dianjurkan sepanjang karier seninya.
Cipta Raya merupakan konsert yang bertemakan lagu-lagu raya dan akan dianjurkan oleh Icon Entertainment pada 13 April 2025 di Zepp KL.
Seperti namanya, Cipta Raya akan dipenuhi dengan seleksi lagu-lagu raya popular dan konsert ini merupakan spin-off yang dihasilkan oleh Icon Entertainment sebagai bukti bahawa semua genre muzik, termasuk lagu raya, boleh diraikan dalam skala konsert besar.
“Cipta Raya merupakan kesinambungan daripada Konsert Cipta 2 M. Nasir, yang diakhiri dengan lagu raya Satu Hari Di Hari Raya dan mendapat sambutan luar biasa sehingga tular selama berminggu-minggu pada tahun lalu.
“Dari situ, tercetus idea untuk Icon Entertainment menganjurkan konsert spin-off—sesuatu yang kebiasaannya dilakukan dalam dunia perfileman.
“Melihat kepada sambutan luar biasa serta koleksi lagu raya M. Nasir, sama ada yang dinyanyikan sendiri atau dicipta untuk penyanyi lain, kami berfikir—mengapa tidak menganjurkan Cipta Raya? Lebih istimewa, konsert ini diadakan dalam bulan Syawal sebagai satu keraian Aidilfitri,” kata Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang.
Menurut Iman Tang, konsert ini akan menampilkan kira-kira 20 buah lagu, dengan 17 daripadanya bertemakan hari raya.
“Cipta Raya bukan sekadar menghimpunkan lagu-lagu popular M. Nasir, tetapi akan menampilkan pelbagai lagu raya hasil karyanya serta lagu raya nyanyian artis lain yang menjadi kegemarannya.
“Apakah lagu-lagu raya pilihan M. Nasir yang bakal berkumandang di Cipta Raya pada 13 April 2025? Nantikan kejutan istimewa!” tambahnya.
Idea dan konsep unik yang diketengahkan oleh Icon Entertainment ternyata mendapat sokongan penuh daripada M. Nasir sendiri.
Sebagai seorang legenda yang telah lama mencipta nama dalam industri muzik dan sering terlibat dalam pelbagai persembahan serta konsert, Cipta Raya pastinya memiliki keistimewaannya yang tersendiri.
Menariknya, setiap pembelian tiket bukan sahaja memberikan akses ke konsert, tetapi juga peluang untuk menikmati hidangan raya sebelum acara bermula seolah-olah menghadiri Rumah Terbuka khas buat peminat M. Nasir! Satu pengalaman eksklusif untuk menyanyi bersama-sama Dato’ dalam suasana penuh kemeriahan.
“Cipta Raya adalah konsert yang cukup istimewa dan harus diraikan seperti Hari Raya, hari kemenangan kita semua,” ujar M. Nasir.
- Tiket kategori seperti berikut:
Sate dan kuah kacang (seating) – RM 588
Rendang dan Ketupat (standing) – RM 258
Lontong dan Kuah Kacang – RM 388
Lemang dan Serunding – RM 588
VIP Box – RM 10,000