redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pada usia baru enam tahun, Sayf Mikael sudah berani ke depan bagi mengetengahkan bakatnya dalam bidang peragaan dan lakonan.
Maka tidak hairanlah jika Sayf Mikael atau nama sebenarnya, Muhamad Sayf Mikael menjadi pilihan klien dan penerbit kerana walaupun kanak-kanak, dia nampak matang dan bersahaja di depan kamera.
Terbaru, Sayf Mikael muncul dalam drama bersiri Sumpah Ibuku dan Boleh Saya Bantu? yang ditayangkan di TV3 selepas diberi kepercayaan berlakon di bawah beberapa syarikat produksi sebelum ini menerusi telemovie Mencari Tuhan Di Sebalik Dosa.
Menurut ibunya, Anizatul Shima Mat Zin, 32, Sayf Mikael adalah anak tunggalnya dan suami, Lukman Hakim Halim, 33.
Katanya, tiada dalam keluarganya atau suami yang menceburi bidang seni namun dia nampak minat itu dalam diri Sayf Mikael.
“Sebagai ibu, saya nampak kelebihan anak yang jenis cepat belajar malah sudah boleh membaca ketika umurnya dua tahun.
“Kami bukan daripada keluarga seni tapi rezeki anak saya apabila ditawarkan berlakon iklan oleh satu syarikat perbankan pada Ramadan lalu.
“Sejak itu, dia dapat tawaran berlakon drama pula dan nampak kesungguhan anak saya kerana dia boleh hafal skrip dalam tempoh sehari saja. Bakatnya pun nampak semula jadi kerana bagi situasi saja, dia boleh berlakon tanpa perlu pegang kertas (skrip),” katanya.
Anizatul Shima berkata, Sayf Mikael bukan hanya berani melontarkan dialog dan bergandingan dengan pelakon dewasa malah turut bijak menghayati watak terutamanya babak yang penuh emosi.
“Saya tak tahu macam mana dia buat tapi Sayf Mikael memang mudah menangis.
“Apa boleh saya katakan, menangis macam petik jari saja baginya dan itu yang saya kagum,” katanya.
Meskipun begitu, Anizatul Shima dan suaminya tetap mahu anaknya mengutamakan pelajaran dan tidak hanyut dengan dunia populariti.
“Baru-baru ini, anak saya menerima tawaran berlakon drama makro bertajuk Seikat Kasih terbitan syarikat Thousand of Years Media (TOYM).
“Drama itu sudah memulakan penggambaran dan akan ditayangkan Aidilfitri kelak.
“Walaupun seronok berlakon, saya dan suami selalu pesan kepada Sayf Mikael pentingnya pelajaran untuk masa depannya dan sampai masa, dia memang kena fokus belajar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




