Menantu Zainal Abidin fail cerai, rindu anak tapi dakwa dihalang suami

Menantu Zainal Abidin fail cerai, rindu anak tapi dakwa dihalang suami

Selepas kontroversi bekas jurulatih bola sepak Datuk Zainal Abidin Hassan berkahwin dua, menantu perempuannya pula tampil mendedahkan kemelut rumah tangga yang dialami ketika ini.

Menurut laporan mStar Online, Suzur Sofia mendakwa dia dihalang oleh suaminya Mohd Zaiza Zainal Abidin untuk bertemu dengan dua orang anaknya.

Wanita berusia 32 tahun itu berkata, dia berharap suaminya dapat memberikan kerjasama dalam soal membabitkan anak-anak mereka yang masih kecil.

“Hati saya sangat sedih kerana sebelum ini sudah biasa dengan anak-anak. Sekarang pergi kerja pun tak tahu khabar mereka.
“Bila bertanya khabar tentang anak-anak, saya hanya mahukan jawapan tentang hal tersebut. Janganlah jawab perkara yang tidak sepatutnya dan cuba mengelak.
“Saya penat sebab kerja. Janganlah dera mental saya. Tolonglah beri kerjasama. Saya hanya mahu berjumpa anak-anak,” katanya.

Difahamkan, Sofia sudah memfailkan perceraian pada 5 Januari lalu namun enggan mendedahkan punca masalah rumah tangga mereka yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Terpaksa bertahan demi anak-anak, dia yang juga seorang pramugari mendakwa sudah mempunyai semua bukti sekali gus akan dibawa serta didedahkan di mahkamah.

Foto; mStar Online

“Saya ini seorang mualaf, keluarga pula jauh di Miri, Sarawak. Jadi memang tiada siapa di sini. Selama ini saya bertahan dalam perkahwinan sebab anak-anak.
“Kalau awak (Zaiza) sayangkan keluarga ini, awak boleh berubah dalam tempoh tujuh tahun kita berkahwin. Tetapi awak masih sama. Hanya kita berdua sahaja yang tahu apa masalah sebenar,” ujarnya.

Sofia menjelaskan, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak sebaliknya menjaga keperluan mereka dengan sebaiknya.

Malah disebabkan terlalu rindu tidak dapat bersemuka, dia turut meminta kerjasama pihak sekolah bagi menghantar gambar dua cahaya matanya.

“Saya terpaksa minta sekolah hantar gambar anak sebab terlalu rindu. Itupun anak yang pertama kerana dia kini sudah memulakan pra-sekolah.
“Anak kedua pula, saya akan minta ibu saya jadi orang tengah untuk video call. Ada masa dijawab namun selalunya diabaikan,” kongsinya lagi.

Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 5 Januari 2016 dan dikurniakan Muhammad Zaynedine Sulaiman, 6, dan Seri Zayana yang kini berusia dua tahun.

Sumber: mStar Online (Farol Hadi)