PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiada sebab untuk terus kekal dalam Perikatan Nasional (PN) sekiranya pemimpin parti itu terus mempertikaikan keputusan yang dibuat pimpinan gabungan berkenaan.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Afif Bahardin, adalah pandangan yang terbalik daripada realiti sebenar.
Menurut beliau, persoalan yang lebih tepat bukan mengapa Pas berada dalam PN, tetapi mengapa Bersatu masih mahu berada dalam gabungan itu sekiranya mereka berterusan mempertikaikan keputusan, kepimpinan dan hala tuju yang dipersetujui bersama.
“Pertama, PN bukan ditubuhkan oleh Bersatu secara bersendirian. Pas adalah parti pengasas PN dan merupakan antara penandatangan rasmi penubuhannya.
“Oleh itu, kedudukan Pas dalam PN tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu atau parti kerana Pas adalah sebahagian daripada asas yang membina gabungan ini sejak awal,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Mohamed Sukri berkata, PN bukan sahaja terdiri daripada dua parti berkenaan, sebaliknya turut dianggotai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
“Maka masa depan PN tidak boleh ditentukan berdasarkan kepentingan, kehendak atau krisis dalaman satu parti sahaja. Tiada mana-mana parti mempunyai hak eksklusif ke atas PN.
“Pas kini merupakan parti terbesar dalam PN dari sudut keahlian, kekuatan jentera, jumlah kerusi yang dimenangi dan sokongan akar umbi.
“Pas juga memegang jawatan Pengerusi PN. Justeru, adalah tidak munasabah untuk menggambarkan Pas sebagai pihak yang perlu mempersoalkan kedudukannya dalam gabungan yang turut diasaskannya sendiri,” katanya.
Beliau berkata, sesebuah gabungan politik memerlukan kestabilan, disiplin dan kepercayaan.
Namun, katanya, Bersatu sejak beberapa tahun kebelakangan ini terus berdepan episod perpecahan, pertikaian dalaman, penghijrahan pimpinan serta ketidaktentuan hala tuju politik.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja melemahkan Bersatu, malah berisiko menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keseluruhan gabungan pembangkang.
“Pas tidak boleh terus dipaksa menanggung beban politik daripada krisis yang tidak berpunca daripadanya.
“Apabila sesebuah parti berdepan masalah dalaman yang berpanjangan, penyelesaiannya bukan dengan mengheret seluruh gabungan untuk menanggung kesannya, tetapi parti tersebut perlu melakukan pembetulan dan penstrukturan semula terhadap organisasinya sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya terdapat mana-mana pihak dalam Bersatu yang tidak lagi menghormati keputusan bersama, mempertikaikan kepimpinan gabungan secara terbuka atau meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan gabungan, maka secara logiknya mereka perlu menilai semula kedudukan dalam PN.
“PN tidak boleh dibina atas andaian bahawa survival politik Bersatu adalah syarat kepada kelangsungan gabungan. Hakikatnya, PN lebih besar daripada mana-mana satu parti. Sebuah gabungan yang sihat mesti bergerak atas dasar prinsip, integriti, kesepakatan dan kepentingan rakyat, bukannya menjadi tempat menyelesaikan konflik dalaman parti tertentu.
“Pas akan terus mempertahankan semangat muafakat, penyatuan rakyat dan pengukuhan blok pembangkang. Namun Pas juga tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan disiplin gabungan, penghormatan terhadap perlembagaan PN dan kestabilan organisasi,” katanya. – UTUSAN




