Mengesankan biarpun berdepan pelbagai kekangan

Mengesankan biarpun berdepan pelbagai kekangan

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Bagai ada yang tidak kena semasa menonton pementasan teater Tok Ki yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Ia kerana, teater yang diangkat daripada naskhah berjudul Isa hasil garapan Seniman Negara Ke-5, Allahyarham Datuk Syed Alwi Syed Hassan adalah berdasarkan kisah benar.

Ia menceritakan individu bernama Mohd Isa Pandak Aris atau Tok Ki , pekebun kecil getah pertama negara yang dijejaki oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sempena sambutan 100 tahun getah negara.

Bagaimanapun, biarpun bergelar solo Persatuan Melodi Kenangan Artis & Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) yang diterajui oleh pelakon Amran Nasruddin sebagai penerbit berjaya melaksanakannya dengan baik.

Justeru, teater ini terpaksa dipentaskan dalam bajet yang terhad oleh Amran yang turut bertindak sebagai pengarah.

Tambahan pula tiket menonton hanya menerusi sumbangan masuk berjumlah RM20 sahaja, iaitu jumlah yang sangat murah untuk menyaksikan teater berkualiti.

Bagaimanapun, ia langsung tidak mematahkan semangat Amran dan barisan pelakon yang menampilkan Fathil Dani dan Shahriza Mahmud bersama beberapa pelakon lain.

Keberanian Amran wajar dipuji. Di tangannya serta semua yang terbabit, teater ini tetap mengesankan dan berjaya menyuntik pengetahuan bahawa industri getah pernah menjadi pemacu utama ekonomi Malaysia pada abad ke-20.

Di tangan Amran, teater ini dipentaskan secara jujur mengikut jalur sejarah tanpa penambahan yang melampau. Fokusnya memang bertumpu kepada Tok Ki dan perjuangannya mengusahakan penanaman getah.

Amran memanfaatkan kecanggihan teknologi dengan penggunaan multimedia memaparkan latar kebun getah, manakala prop yang ada di atas pentas ialah rumah kampung Tok Ki dan pokok getah.

Ia berjaya mengembalikan nostalgia terutama buat mereka yang pernah melalui era 80 dan 90-an di mana industri getah masih utuh sebelum diambil alih oleh sektor perindustrian.

Dari sudut perwatakan, penghayatan Fathil tidak perlu dipertikaikan lagi. Lakonannya sangat hebat dengan gandingan bersama Shahriza amat menjadi.

Mereka turut dibantu dengan kemantapan pelakon lain yang berjaya membawakan watak mereka dengan baik.

Tok Ki sebenarnya adalah sebuah teater monolog tetapi Amran bijak mengadunkannya dengan penambahan watak lain bagi menterjemahkan cerita sebenar.

Pementasan pada malam akhir itu menjadi bertambah istimewa dengan kehadiran waris Allahyarham Datuk Syed Alwi, waris Allahyarham Tok Ki serta kenamaan iaitu Tokoh bahasa dan persuratan negara, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top