Elizabeth Tan tekad tampil lebih mantap

Elizabeth Tan tekad tampil lebih mantap

Pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan tidak berselindung mengakui kecewa dengan mutu lakonannya sendiri selepas menonton pratonton filem seram terbaharunya, Pemuja Syaitan, malam Khamis lalu.

Elizabeth atau mesra disapa Lizzy, 33, berkata dia berasa persembahannya kurang memberi impak di layar perak, selain sifat kritikal terhadap diri sendiri membuatkannya sukar menerima kelemahan itu.

“Sejujurnya, saya memang tidak suka lakonan saya. Bila tengok hasilnya, persembahan saya tidak cukup kuat dan terlalu senyap.

“Ketika penggambaran, saya tak mahu suara bertembung dengan pelakon lain sebab sangka akan di ‘dubbing’ kemudian, tapi rupa-rupanya tiada.

“Setiap kali buat kerja, orang yang paling kritikal terhadap diri saya adalah saya sendiri. Jadi kalau saya menilai diri begitu, saya jangkakan orang lain juga akan menilai cara sama,” katanya.

Pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) itu turut mendedahkan pemilihan sudut suntingan dan teknik pencahayaan set yang gelap menjadi cabaran besar untuk memaparkan emosi serta air matanya di hadapan kamera.

Dalam pada itu, Lizzy mengaku terkejut apabila ditawarkan memegang watak remaja berusia 17 tahun memandangkan usianya kini sudah mencecah 33 tahun.

“Pengarah kata saya nampak muda, tapi saya sedar rupa saya tak adalah seperti budak 17 tahun. Saya terima tawaran ini kerana Liyana Jasmay. Saya sayangkan dia dan tahu ini projek yang sangat dekat dengan hatinya.

“Demi watak itu, saya cuba ubah intonasi bercakap jadi lebih lembut dan kewanitaan. Tapi bila tengok balik, saya rasa ia tidak semula jadi. Saya nampak macam ‘terlalu berlakon’ dan tak bersahaja,” katanya.

Meskipun menganggap pengalaman itu sebagai pengajaran untuk lebih bersedia pada masa depan, Lizzy menyifatkan Pemuja Syaitan bukanlah persembahan terburuknya, tetapi tahu dia sepatutnya boleh memberikan yang lebih baik.

Filem arahan Liyana Jasmay yang mengisahkan perhimpunan semula sekumpulan bekas rakan sekolah di sebuah pulau terpencil itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 15 Oktober ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top