nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengunjung di sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC), di sini, diingatkan supaya tidak menggunakan perkhidmatan jurugambar amatur semasa berada di kawasan berkenaan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, sekiranya tiada ‘willing buyer’ (pembeli yang sudi), maka tidak akan ada ‘willing seller’ (penjual yang sudi).
Beliau mengingatkan orang ramai supaya turut memainkan peranan selain tindakan penguatkuasaan yang berjalan secara aktif di bawah inisiatif KLStrikeForce.
“Pertama, tidak mengambil perkhidmatan itu kerana tiada ‘willing buyer’, maka tidak akan ada ‘willing seller’.
“Keduanya, sekiranya anda nampak perkhidmatan menimbulkan ketidaksenangan ini, segera laporkan di balai polis berhampiran untuk tindakan pihak penguatkuasaan.
“Dengan cara ini, anda semua turut akan membantu pihak penguatkuasaan. InsyaAllah, isu ini akan selesai jika semua pihak memainkan peranan masing-masing termasuk orang awam,” katanya menerusi hantaran dimuat naik di akaun Facebook, hari ini.
Beliau yang berkesempatan pergi ke lokasi tumpuan pelancong itu malam tadi turut membuat tinjauan di sekitar kawasan menara berkenaan.
“Saya ada dengar rungutan dari warga kota, ada yang sampaikan secara terus kepada saya, ada juga yang komen di media sosial saya. Jangan risau, saya baca dan teliti walaupun saya tak sempat nak balas semua.
“Antaranya adalah isu jurugambar amatur yang dikatakan ‘memaksa’ untuk mengambil perkhidmatan mereka,” katanya.
Beliau pernah dimaklumkan oleh pihak KLCC sebagai pemilik premis yang tidak membenarkan jurugambar amatur untuk berada di sekitar menara berkenaan.
“Tetapi berdasarkan gambar-gambar yang dihantar kepada saya, saya tengok sendiri semalam ada antara mereka yang berada di seberang jalan, mungkin menimbulkan ketidaksenangan dalam kalangan pengunjung.
“Sepanjang tahun ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan tidak menerima sebarang laporan daripada orang awam atau pengunjung berhubung kehadiran jurugambar amatur di sekitar KLCC,” katanya.
Menerusi hantaran itu juga, Dr Zaliha memetik laporan khas Harian Metro, hari ini, berhubung kehadiran jurugambar amatur di menara berkenaan.
“Hari ini dalam Harian Metro, Ketua Polis Kuala Lumpur memaklumkan dua orang daripada jurugambar amatur itu sudah didakwa di mahkamah.
“Dua orang yang didakwa itu diambil tindakan berdasarkan laporan daripada pihak Polis Bantuan KLCC kerana didakwa menceroboh dalam kawasan menara berkenaan.
“Selain itu, Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi juga sudah menjalankan operasi di sekitar KLCC bulan lalu menahan lima lelaki ditahan selepas pemeriksaan dokumentasi dilakukan. Ini adalah antara inisiatif KLStrikeForce,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kehadiran jurugambar amatur dalam kalangan individu tempatan di sekitar KLCC yang menimbulkan rasa tidak selesa pengunjung di menara berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




