Menteri KDN Libya arah rakyat wajib tutup aurat

Menteri KDN Libya arah rakyat wajib tutup aurat

Mejar Jeneral Emad al-Trablssi

– Advertisement –

NAMA Mejar Jeneral Emad al-Trablssi tiba-tiba menjadi popular di negara-negara Arab sejak beberapa hari lalu.

– Advertisement –

Menteri Dalam Negeri (KDN) Libya itu tidaklah begitu terkenal sebelum ini. Bahkan tidak ditemui satu enjin pencari yang memaparkan biodatanya sama ada dalam Bahasa Arab mahupun Bahasa Inggeris.

Rabu lalu, Emad mengumumkan menerusi satu sidang media beberapa langkah drastik bagi mengawal tingkah laku dan akhlak warga Libya.

Antara lain menteri itu mengharamkan wanita mendedahkan aurat di khalayak ramai. Orang lelaki pula dilarang mengukir rambut atau dikenali sebagai qaza’.  Larangan melakukan qaza’ ada disebut di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al Bukhari dan Muslim.

Beliau turut mengumumkan larangan pergaulan bebas lelaki dan perempuan khususnya di khalayak ramai. Bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini, pihaknya akan mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang memuat naik sebarang perkara berunsur negatif.

Emad turut memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap mana-mana kedai kopi yang menyediakan syisya.

Kementerian Dalam Negeri akan mengaktifkan kembali pasukan penguatkuasa yang dikenali sebagai ‘Polis Adab’ bagi memastikan peraturan-peraturan ini dipatuhi.

Pengumuman Emad al-Trablssi ini telah memeriahkan media sosial di negara-negara Arab yang menyokong tindakannya itu. Walaupun beliau seorang menteri yang kurang dikenali, namun rata-rata pengguna media sosial menyifatkan pengumuman itu sebagai suatu yang ditunggu-tunggu.

Sebelum mengumumkan peraturan baru ini, Emad sudah melakukan beberapa tindakan drastik khususnya dalam mereformasi pasukan polis, memerangi jenayah, menjalin hubungan keselamatan dengan negara-negara jiran dan sebagainya.

Namun seperti biasa, setiap tindakan ke arah kebaikan tetap ada penentangnya. Seorang Ahli Parlimen, Rabi’ah Abu Ras adalah antara tokoh yang menentang peraturan ini. Menurutnya Libya tidak memerlukan peraturan mewajibkan wanita bertudung kerana majoriti wanita Libya sudahpun memakai tudung.

Rabi’ah turut mendesak Perdana Menteri Abdul Hamid Dabibah agar meneliti semula peraturan yang diumumkan oleh menteri berkenaan.

USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang – HARAKAHDAILY 12/11/2024

– Advertisement –

Scroll to Top