Menu Selera Balik Kampung di Espira Kinrara

Menu Selera Balik Kampung di Espira Kinrara

PUCHONG – Bufet Ramadan kembali memeriahkan bulan puasa tahun ini dengan konsep balik kampung yang menjadi tema Espira Kinrara iaitu hotel berkonsepkan resort dengan menawarkan kepelbagaian pilihan masakan tempatan dan antarabangsa

Penolong Pengurus Eksekutif, Espira Kinrara, Noor Azimin Ibrahim berkata, bermula sajian yang menyelerakan seperti rojak pasembur dan ais kacang, sudah pasti kambing panggang, nasi beriani dan ikan bakar menjadi hidangan istimewa yang akan menanti pengunjung.

Beliau berkata, bufet yang diadakan di Cafe Biru menawarkan lebih 100 menu yang disediakan oleh pasukan cef dalam memberi kepuasan dan pengalaman baharu bagi meraikan kegembiraan pada bulan yang penuh mulia.

“Antara hidangan istimewa adalah Sup Tulang Rawan, Kari Kepala Ikan dan Asam Pedas Tetel dan tidak lupa juga pelbagai manisan yang menarik seperti aneka bubur manisan dan goreng yang bersama sembilan jenis minuman sejuk dan panas,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Azimin berkata, hidangan bufet mampu menjadi tarikan ramai yang menggemari masakan tradisional dan sekaligus membuatkan mereka mengimbas kembali kenangan berbuka berpuasa di desa.

Pada masa sama, katanya, kesemua menu bufet yang disediakan mementingkan sajian yang sedap selain suasana selesa dan harga berpatutan buat pengunjung.

Beliau memberitahu, walaupun menu mewah disediakan namun harganya tetap bagi harga RM83 bagi yang membuat pembelian awal dan tempahan boleh dibuat di talian 03-8079 1000. – MalaysiaGazette