Menunggang mabuk, pengawal keselamatan dipenjara 7 bulan

Menunggang mabuk, pengawal keselamatan dipenjara 7 bulan

am@hmetro.com.my

Tawau: Akibat menunggang motosikal dalam keadaan mabuk, pengawal keselamatan dihukum penjara tujuh bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Don Stiwin Malanjum membuat keputusan itu selepas tertuduh, Qiries Ghafur, 32, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang juga pemegang dokumen IMM13 dipenjara sebulan jika gagal membayar denda dan dirujuk ke Jabatan Imigresen sebaik selesai menjalani hukuman.

Qiries juga dihukum penjara satu bulan masing-masing atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu serta tiada perlindungan insuran kenderaan.

Semua hukuman penjara diarah berlangsung serentak bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol yang melebihi had dibenarkan di Batu 16 Jalan Apas, di sini pada 9.47 malam, 26 Oktober lalu.

Berdasarkan fakta kes, sebelum menunggang motosikal untuk ke tempat kerjanya, Qiries mengaku minum minuman keras ketika menghadiri majlis perkahwinan rakan sekerja di Kampung Inderasabah.

Di tempat kejadian, dia hilang kawalan dan terbabas hingga hampir dilanggar pacuan empat roda serta menyebabkan dua lagi kenderaan kemalangan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Joan Lee.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top