Menyantuni ilmuan dan institusi pondok di Patani

Menyantuni ilmuan dan institusi pondok di Patani

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

SEMENJAK abad ke-15, Pattani adalah sebuah nama besar dalam peradaban dan perdagangan. Kehebatan ulamanya sehingga mendapat perhatian khilafah Uthmaniah, bahkan menjadi tenaga pengajar di masjidil Haram serta kitab-kitab ulama Pattani dicetak di Istanbul.

Pattani dalam susur sejarahnya adalah sebuah kerajaan Islam berdaulat yang mendapat jolokan Serambi Makkah, dengan jaringan ratusan pondok-pondok pengajian Islam, ribuan para ulama dan asatizah.

Tanah Yala, Narathiwat, Setul, Pattani ini menjadi tempat pemukiman ilmu kepada santri daripada pelbagai penjuru Nusantara seperti Kemboja Champa, Brunei, Pulau Jawa, Sumatera, Tanah Melayu, Mindanao dan lain-lain.

Advertisement

Ulama Pattani bukan sahaja hebat menggerakkan pengajian Islam di tanah leluhur mereka sendiri, namun sebahagian yang lain membuka perkampungan ilmu di Makkah yang dikenali Bukit Ajjiyad, mengajar di Masjidil Haram serta menggerakkan Makkah sebagai pusat operasi gerakan jihad di Nusantara. Ulama Pattani mengarang kitab yang bertebaran ke Alam Melayu, antaranya Sheikh Daud Pattani, Sheikh Wan Ahmad al Pattani, Sheikh Wan Mohamad Zain dan lain-lain sang pencerah.

Di zaman moden bumi umat Islam ini menjadi sebahagian daripada negara Thailand dengan sejarah panjang peperangan, namun keberadaan pondok pengajian Islam masih dikekalkan dan menjadi pilihan untuk santri belajar agama yang datang daripada Malaysia, Indonesia, Cambodia dan lain-lain.

Pondok menjadi benteng akidah serta penegasan jati diri Melayu Islam melalui penggunaan Bahasa Melayu dalam pengajaran dan kitab-kitab Melayu dan Arab.

Antara tempat yang dilawati adalah masjid Kerisek yang berusia lebih 400 tahun dan masih digunakan untuk pelbagai aktiviti keagamaan sehingga kini. Rombongan jaulah budaya dan kebajikan ini juga telah melawat telaga Sheikh Daud Pattani dan persekitarannya yang pernah menjadi tempat almarhum murabbi ummah ini mengarang kitab dan menebarkan ilmu kepada masyarakat.

Uniknya telaga yang berusia ratusan tahun ini tidak pernah kering airnya walaupun di musim kemarau panjang. Kelihatan pelawat mengambil peluang untuk mandi dan mengambil air telaga di samping mendengar pengkisahan daripada seorang lelaki berusia emas berkenaan perjuangan dan dakwah almarhum.

Jaulah LESTARI ini menjadi sangat bermakna apabila menjadi tetamu ulama tersohor Nusantara, Sheikh Ismail Sepanjang atau dikenali sebagai Baba Eil Sepanjang pada hari kedua misi. Pondok tradisional beliau adalah antara pondok pengajian Islam yang popular di wilayah Selatan Thailand. Terletak di Kampung Sepanjang, Pattani.

Kami menerima pesan-pesan berharga daripada Baba Eil, antaranya menyuruh menjaga ukhuwah sesama Islam, menyambung silaturrahim kekeluargaan dan terus berdakwah tanpa jemu.

Hari kedua jaulah budaya dan kebajikan, kami manfaatkan untuk menyantuni Pondok Dala, iaitu pondok terbesar di Pattani yang ditadbir oleh Baba Abdul Karim yang merupakan Pengerusi Jameiyyah Ulama Pattani.

Madrasah yang digerakkan oleh Baba Abdul Karim ini juga menampung pelbagai usia santri, daripada tahfiz sehinggalah pondok tradisional yang mengajar pelbagai kitab turath.

Relawan-relawan yang menyertai misi juga menziarahi Pondok Nahdatul Islahiah yang diasaskan oleh Baba Abdul Aziz yang mempunyai lebih seribu orang pelajar.

Hari ketiga jaulah, antara yang disantuni ialah Madrasah Darus Salam Kampong Tasik Me’ang Yala. Baba Ahmad walaupun telah berusia namun tetap gigih mencerahkan akal masyarakat. Kuliah dhuha beliau turut dihadiri oleh 300 orang warga desa.

Pondok al Husna yang terletak di Kampong Batang Kubu, Parai digerakkan oleh Baba Abdul Rashid yang turut dibantu oleh masyarakat setempat dalam menggerakkan kegiatan jihad ta’lim. Kebimbangan ulama di wilayah Selatan ini juga berkaitan dengan gejala penagihan najis dadah dikalangan anak muda yang bakal memusnahkan potensi masa depan ummat Islam.

Anggota jaulah LESTARI turut mengagihkan sumbangan pakaian ibadah dan naskah al Quran kepada setiap pondok atau madrasah yang diziarahi dengan nilai sumbangan mencecah 37 ribu ringgit. Hanya sebelas buah pondok yang sempat diziarahi untuk misi ini.

Menurut koordinator jaulah ini, Baba Eil Jujut yang juga merupakan sosok penting Jamaieyyah ulama Pattani, ada sekitar 400 lebih pondok yang berdaftar dengan pihak kerajaan di wilayah Selatan Thailand, terdapat lagi pondok-pondok yang belum berdaftar.

Wilayah Selatan Thailand ini begitu gigih mempertahankan jatidiri Islam dan Melayu. Dasar Siamisasi sejak zaman Phibul Sokhram tak berjaya menggerus jatidiri mereka kerana kuatnya tradisi pengajian Islam.

Di jalanan, kita akan melihat muslimah-muslimah berbusana patuh syariah serta lelaki muslim yang berwajah jernih. Budaya menyantuni tetamu sangat hebat kerana mereka memahami ajaran agama, masjid surau dapat kita lihat di mana-mana tempat.

Laungan azan yang meneduhkan nurani bergentayangan diudara setiap kali masuk waktu solat, sejujurnya wilayah Selatan ini sangat mendamaikan dan jatidiri Melayu Islam mereka jauh lebih mapan berbanding Melayu ditempat lain kerana mereka bangsa Melayu yang kuat berpegang dengan ajaran Islam!

Penulis ialah Anggota Bantuan Kemanusiaan Tanpa Sempadan. – HARAKAHDAILY 29/8/2022