Merdeka, ayah dan saya

rama@mediaprima.com.my

“Biar kita miskin, asalkan kita merdeka dan bermaruah.” Kata-kata negarawan ulung, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dalam ucapan ketika rundingan kemerdekaan di London pada 1956 kembali bermain di minda ketika tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya meluncur laju membelah angin pagi lalu keluar dari perut bumi betul-betul di hadapan bangunan Pasar Seni yang dibuka pada 1888.

Waktu: Ahad, 16 Ogos 2026, jam 10.30 pagi. Lagu kugiran Alleycats, Senyumlah Kuala Lumpur berdendang di cuping telinga saya menerusi earpiece AWEI buatan China.

Sebagai anak watan ibu kota, bait-bait lagu gandingan M Nasir/S Amin Shahab keluaran 1982 itu selalu mengusik emosi saya.

Dari dalam gerabak LRT jenis Bombardier, di sebelah kiri, kelihatan Jalur Gemilang gergasi berkibar megah di tiang 100 meter dibuai angin di Dataran Merdeka.

Di sebelah kanan, apabila mata terpanah pada Pasar Seni, memori dengan laju membawa saya ke tahun 1978. Wajah mendiang ayah saya, Chellachamy Ramasamy tercermin di hadapan mata.

Ayah dan saya selalu bertandang ke Pasar Besar Kuala Lumpur, nama lama Pasar Seni, dengan menaiki bas Sri Jaya nombor 2 dari Sentul untuk membeli barangan dapur.

Bagi ayah membeli barang dipesan ibu saya, Alagammal Vadivellu adalah misi terhebat, tetapi bagi saya highlight kunjungan ke Pasar Besar Kuala Lumpur adalah bubur kacang hijau berharga 30 sen semangkuk yang dijual mamak bernama Mastan di sebelah kiri pintu masuk pasar. Menghirup panas-panas bubur sambil ayah tolong meniup cedukan dalam sudu adalah satu nikmat.

“Di padang ini kita mencapai kemerdekaan. Tunku, (Tun VT) Sambanthan dan Tun Tan Cheng Lock yang bebaskan negara ini daripada British. Cerita ini ada dalam buku sejarah. Jasa Tunku amat besar,” titip ayah kepada saya ketika mendiang membawa saya ke Padang Kelab Selangor, yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka pada satu tarikh pada Julai 1979 sebelum berkunjung ke Pasar Besar Kuala Lumpur yang waktu itu air kotornya mengalir lesu masuk ke Sungai Klang.

Kata-kata ayah hinggap di telinga, tetapi saya tidak menghadamnya. Saya faham, tetapi tidak mengerti. Fikiran saya hanya ingat bubur kacang hijau mamak Mastan.

Hari ini, bila mengimbas kembali kata-kata ayah, ia umpama biji benih yang jatuh ke tanah tanpa saya sedari; bertahun-tahun kemudian, barulah saya faham bahawa ia sudah tumbuh menjadi pohon yang menaungi hidup saya.

Malaysia tanah bertuah. Buminya subur. Tanam apapun menjadi. Hujan mencurah 365 hari. Belantara hijau meluas. Lautnya luas. Tiada sekelumit rungutan. Hanya kesyukuran untuk segala nikmat yang dilimpahi.

Benar tiada bencana alam besar, tetapi yang ada hanya bencana buatan sebilangan manusia tamak.

Selama berabad lamanya, bumi ini setia menerima jutaan manusia yang merantau dari seluruh pelosok dunia untuk mencari rezeki. Mengikut angka terkini, seramai 2,132,578 pekerja asing sah serta ratusan ribu warga asing tidak sah bekerja di Malaysia. Dan Malaysia tidak penat menyuapkan rezeki kepada mereka meskipun setiap tahun secara purata sejumlah 10,000 rakyat Malaysia memilih untuk melepaskan kewarganegaraan mereka.

Moyang saya datang ke Malaya pada awal 1900-an untuk membuka ladang getah. Mendiang bapa dan ibu saya pula datang ke Malaya pada usia awal 20-an untuk mencari masa depan. Negara ini menerima dengan tangan terbuka. Malah, ayah dan mamak Mastan berasal dari perkampungan yang sama di selatan India!

Mereka membanting tulang dari pagi hingga ke petang, bekerja keras untuk membina kehidupan dan membesarkan keluarga. Dalam serba kekurangan, mereka tetap percaya bahawa anak mereka harus mendapat peluang yang lebih baik daripada apa yang pernah mereka nikmati. Malaysia bukan sekadar tempat mereka mencari rezeki, tetapi tanah air yang akhirnya menjadi tempat kami berakar, membina kehidupan dan menaruh harapan.

Saya tidak pernah merasa segan atau malu mengaku saya anak pendatang. Malah, seperti ayah dan ibu, saya setia pada tanah air ini dan bangga dapat menyumbang bakti membina Malaysia moden. Saya faham benar frasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kesetiaan saya hanya pada Raja dan Negara. Bukan pada individu atau mana-mana parti politik. Saya seorang warganegara mengikut Perlembagaan, bekerja, seorang pembayar cukai, seorang pengundi serta mematuhi semua undang-undang dan peraturan negara. Dan di sini saya akan dikuburkan.

“Jangan biarkan politik memecah-belahkan kita. Bersatulah sebagai satu bangsa. Kalau tidak, kita akan hancur.” – Tunku Abdul Rahman ketika ditemu bual British Broadcasting Corporation (BBC) pada 1969.

Kurang 30 saat, tren LRT sampai di Stesen Pasar Seni. Mata masih terpaku pada bahagian kiri tren. Dari kejauhan kelihatan Stadium Merdeka.

Laungan “Merdeka!” Tunku sebanyak tujuh kali masih terngiang-ngiang dalam sejarah negara. Tujuh laungan yang menggegarkan stadium itu bukan sekadar jeritan kegembiraan sebuah bangsa yang baru bebas. Ia adalah laungan sebuah harapan: harapan agar anak cucu yang bakal mewarisi tanah air ini dapat hidup dalam sebuah negara yang aman, makmur dan bersatu.

Terima kasih buat bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menyelamatkan Stadium Merdeka pada 2003 daripada dirobohkan selepas pentadbiran terdahulu mengumumkan monumen abadi itu akan diratakan untuk pembangunan semula pada 1994.

Saya secara peribadi amat tidak bersetuju dengan langkah untuk merobohkan Stadium Merdeka kerana bangunan boleh dibina semula, pusat beli-belah boleh didirikan di mana-mana. Menara pencakar langit boleh tumbuh setinggi mana sekalipun. Tetapi sebuah tempat yang menyimpan detik kelahiran sebuah negara tidak boleh diganti dengan batu-bata, konkrit dan kaca.

Tahun lepas apabila saya menamatkan larian maraton Standard Chartered sejauh 42 kilometer pada 5 Oktober di Stadium Merdeka, monumen itu seolah-olah mengingatkan saya bahawa ada sejarah yang perlu kita pertahankan supaya generasi selepas kita juga berpeluang untuk berdiri di tempat yang sama dan merasai denyut sejarah yang pernah berlaku di situ.

“Malaysia adalah untuk rakyat Malaysia. Tak kira apa bangsa atau agama.” – Tunku Abdul Rahman dalam ucapan di Parlimen pada 1965.

Pada saat Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, tidak ramai yang menyangka negara yang masih muda dan serba kekurangan ini suatu hari nanti akan mampu berdiri sebagai sebuah nusa yang maju apatah lagi dengan populasinya pelbagai bangsa dan agama.

Tetapi Menara Merdeka 118 yang berdiri megah setinggi 678.9 meter menjulang langit bersebelahan Stadium Merdeka menjadi bukti betapa jauhnya Malaysia sudah melangkah.

Di sinilah seolah-olah sejarah bertemu masa depan – Stadium Merdeka menjadi saksi laungan keramat “Merdeka!” pada 1957 manakala Merdeka 118 pula berdiri sebagai lambang kemajuan sebuah negara yang melalui perjalanan panjang penuh getir.

Pada 1957, lebih kurang 50 peratus rakyat Malaysia hidup dalam kemiskinan. Pada 2026, kadar kedaifan rasmi sudah menurun kepada 5.3 peratus. Ekonomi 1957 sangat kecil dan bergantung kepada dua sektor sahaja iaitu getah dan bijih timah. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya RM4.4 bilion. Sekarang ekonomi Malaysia sudah mencecah hampir RM1.8 trilion. KDNK per kapita pun meningkat daripada RM500 setahun pada 1957 kepada sekitar RM52,000 setahun sekarang.

Malaysia kini berstatus negara berpendapatan sederhana tinggi. Kita mungkin sudah lama mencapai tahap negara maju, apatah lagi dengan kekayaan petroleum jika negara diuruskan cekap tanpa kebocoran dan penyelewengan yang seakan-akan menjadi budaya dihalalkan daripada pemimpin paling kanan sehingga rakyat marhaen.

Saya amat yakin Malaysia mempunyai masa depan yang cemerlang. Pemenang sebenar di negara ini, bukannya pemimpin politik, tetapi rakyat jelata.

Retorik politikus, hambatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan hasutan orang perseorangan membakar media sosial dengan pelbagai isu saban hari. Sekali layan, ia seolah-olah membayangkan tiada esok untuk Malaysia.

Namun rakyat tidak mudah termakan umpan. Rakyat amat rasional. Amat bertimbang rasa. Tidak dikuasai emosi. Sebab itu Malaysia aman. Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 mencatatkan skor 0.701 dan digambarkan melepasi paras sederhana tinggi. Tapi perpaduan tidak ditentukan oleh angka semata-mata, tetapi oleh hati nurani rakyat: iaitu anda dan saya. Masa depan negara ini terlalu berharga untuk diserahkan kepada sekelompok manusia yang berkepentingan peribadi.

Tiga puluh lima minit dalam tren, gerabak LRT tiba di destinasi terakhir, Stesen Kelana Jaya.

Jam 11 pagi, saya ada undangan majlis perkahwinan anak perempuan sahabat zaman childhood saya, Omar Said. Kami berkawan hampir 43 tahun. Ia sesuatu untuk diraikan.

Saya melangkah keluar dari stesen sambil teringat kembali perjalanan pagi itu – daripada Pasar Seni kepada kenangan bersama ayah, Stadium Merdeka, laungan “Merdeka!”, perjuangan sebuah keluarga pendatang dan perjalanan panjang sebuah negara.

Barangkali itulah Malaysia bagi saya.

Sebuah negara yang sejarahnya tidak pernah benar-benar tinggal di muzium. Ia hidup dalam ingatan kita, dalam keluarga kita, dalam persahabatan kita dan dalam perjalanan kecil yang kita lalui setiap hari. Dan selagi kita masih mahu berjalan bersama, perjalanan itu belum berakhir.

Penulis wartawan Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top