zatuliffah@hmetro.com.my
KEHILANGAN suami pada 2016 bukan noktah buat anak jati Lahad Datu, Sabah, Zulfa Sholeha Junan, 36, sebaliknya menjadi kekuatan yang mengajarnya untuk terus melangkah.
Sebagai ibu tunggal, dia memilih meneruskan kehidupan sambil membesarkan anak lelaki yang kini berusia 12 tahun meskipun terpaksa melalui hari-hari tanpa insan yang selama ini menjadi teman di sisi.
Suaminya menghembuskan nafas terakhir ketika tidur tanpa mempunyai sebarang penyakit sebelum itu, meninggalkan Zulfa Sholeha untuk meneruskan kehidupan dan memikul tanggungjawab membesarkan anak mereka seorang diri.
Bagi Zulfa Sholeha, kehidupan tetap perlu diteruskan walaupun perjalanan yang ditempuh tidak selalu mudah. Dia kembali bekerja dan menjalani rutin harian seperti biasa demi memastikan kehidupan keluarga kecilnya terus berjalan.
Enam tahun selepas pemergian suami iaitu pada penghujung 2022, Zulfa Sholeha mula mencuba seni tanah liat polimer atau ‘polymer clay’ selepas tertarik melihat hasil karya miniatur yang dihasilkan pencipta kandungan di media sosial.
Menariknya, wanita itu bukan sahaja tidak mempunyai asas dalam bidang seni malah tidak pernah menyentuh tanah liat atau mengikuti mana-mana kelas untuk mempelajari kemahiran berkenaan.
“Saya tengok orang buat dan rasa mahu cuba. Daripada situ saya mula belajar sendiri melalui YouTube dan perkongsian pencipta kandungan lain di media sosial. Semuanya saya belajar sendiri dan banyak guna kaedah ‘try and error’ sehingga saya jumpa teknik yang sesuai,” katanya.
Daripada satu percubaan kepada percubaan lain, Zulfa Sholeha terus menghasilkan pelbagai miniatur sambil berkongsi proses pembuatannya di media sosial.
Tidak disangka, hasil tangannya mula mendapat perhatian apabila orang ramai menunjukkan minat mendapatkan karya berkenaan walaupun ketika itu dia masih baharu.
Pada 2023, Zulfa Sholeha mengambil keputusan meninggalkan pekerjaan sebagai kerani di sebuah syarikat swasta untuk memberi lebih tumpuan kepada kemahiran yang sedang dipelajarinya.
Ketika berhenti kerja, dia masih di peringkat awal mempelajari teknik menghasilkan seni tanah liat, malah pada masa sama terus menghasilkan kandungan berkaitan karya yang dibuatnya.
“Saya baru mula belajar ketika berhenti kerja. Sambil belajar, saya buat ‘content’ dan terima tempahan. Dari situ, orang mula tertarik buat tempahan walaupun saya masih baharu,” katanya yang pernah menerima tempahan daripada Singapura, Brunei dan Australia.
Bagi Zulfa Sholeha, pengalaman itu mengajarnya bahawa seseorang tidak semestinya perlu mempunyai kemahiran atau latar belakang khusus untuk memulakan sesuatu yang diminati.
Sebaliknya, keberanian mencuba dan kesanggupan terus belajar menjadi kunci bina keyakinan walaupun terpaksa bermula dari kosong.
“Saya pun mula daripada tidak tahu apa-apa. Kalau saya boleh belajar sendiri, orang lain pun boleh. Tak perlu tunggu kita pandai baru mahu cuba. Kita cuba dulu, kemudian belajar sedikit demi sedikit,” katanya.
Pengalaman kehilangan suami dan besarkan anak seorang diri mengajar Zulfa Sholeha supaya tidak mudah menyerah apabila berdepan perubahan besar dalam kehidupan.
Bagi wanita itu, setiap orang mempunyai peluang untuk membina semula kehidupan mengikut kemampuan sendiri walaupun ia mengambil masa dan tidak berlaku seperti yang dirancang.
Kini, Zulfa Sholeha mahu kisah perjalanannya menjadi dorongan kepada wanita lain supaya berani mencuba sesuatu yang baharu terutama ketika melalui fasa sukar dalam kehidupan.
Katanya, seseorang tidak perlu tunggu keadaan menjadi sempurna untuk melakukan perubahan kerana langkah kecil dilakukan secara konsisten mampu membawa kepada sesuatu lebih besar.
Pada masa depan, Zulfa Sholeha berhasrat memiliki studio sendiri, selain membuka kelas untuk berkongsi ilmu dan kemahiran dipelajari dengan mereka yang berminat khususnya individu yang mahu mencuba kemahiran baharu.
Kisahnya membuktikan bahawa kehilangan mungkin meninggalkan luka, namun kehidupan tetap mempunyai ruang untuk diisi dengan harapan, keberanian dan sesuatu yang memberi makna.
Karya miniatur tanah liat polimer seperti pakaian seragam, makanan dan bunga dihasilkan dalam bentuk magnet peti sejuk, rantai kunci dan kerongsang dengan harga bermula RM50 manakala karya lebih rumit boleh mencecah ratusan ringgit.
Hasil seni Zulfa Sholeha boleh dibeli secara dalam talian menerusi WhatsApp, Instagram, Facebook dan TikTok.
© New Straits Times Press (M) Bhd
