Polis buru lima lagi anggota sindiket makmal dadah RM2.4 bilion

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis memburu empat hingga lima lagi anggota sindiket yang dikaitkan dengan makmal pemprosesan dadah berskala besar di Puncak Alam, Selangor dengan sebahagian mereka dipercayai melarikan diri ke luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti semua suspek dan sedang mengesan mereka.

“Kita sudah mengenal pasti mereka dan kita akan cari. Hanya soal masa sebelum kita berjaya mengesan mereka,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, Hussein enggan mendedahkan negara yang dipercayai menjadi destinasi pelarian suspek berkenaan.

Beliau berkata, polis sedang memburu antara empat hingga lima individu yang kesemuanya mempunyai pembabitan terdahulu dalam aktiviti berkaitan dadah.

Usaha mengesan suspek itu susulan siasatan terhadap sindiket yang dikaitkan dengan makmal pemprosesan dadah berskala besar berkenaan, yang membawa kepada rampasan dadah dianggarkan bernilai RM2.4 bilion.

Makmal dadah di Puncak Alam itu dipercayai menghasilkan dadah bernilai berbilion ringgit sebelum kegiatannya terbongkar menerusi serbuan JSJN pada 15 Ogos lalu dalam Op Eumenes.

Dalam serbuan itu, polis merampas lebih 13 tan dadah jenis MDMA dalam bentuk cecair dan serbuk serta beberapa jenis dadah lain yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM2.4 bilion.

Operasi berkenaan adalah sebahagian daripada enam serbuan serentak dan susulan yang dijalankan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur selepas polis memperoleh maklumat risikan serta menjalankan pemantauan terhadap sindiket terbabit.

Antara rampasan ialah kira-kira 7.09 tan MDMA cecair dan 6.06 tan MDMA dalam bentuk serbuk.

Polis turut merampas 1.04 kilogram (kg) ganja, 880 gram (g) pil Erimin 5, 180g ketamin, 150g pil yaba dan 50g methamphetamine.

Sebelum ini dilaporkan seorang lelaki yang ditembak mati polis dalam operasi membanteras kegiatan dadah di Seremban baru-baru ini dipercayai menjadi dalang utama di sebalik makmal dadah berkenaan.

Siasatan mendapati lelaki itu mengetuai sindiket yang mengendalikan makmal terbabit, selain bertanggungjawab membawa masuk peralatan dari luar negara dan merekrut anggota sindiket lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top