Mesir tetap cari Salah

Mesir tetap cari Salah

KAHERAH: Mesir tetap memanggil Mohamed Salah untuk aksi persahabatan pada akhir bulan ini biarpun Liverpool meminta agar penyerang berbisa itu direhatkan ekoran kecederaan.

Salah ketika ini sedang dalam fasa pemulihan setelah menerima kecederaan serius sewaktu membantu Mesir dalam kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) di Ivory Coast, bulan lalu.

Beliau yang hampir cergas dan diturunkan sewaktu Liverpool menentang Brentford pada bulan Februari lalu bagaimanapun mengalami kecederaan sekali lagi dan kini telah terlepas 4 perlawanan liga.

Jurgen Klopp telah berkongsikan kepada pihak media bahawa Salah akan kembali menjalani sesi latihan pada minggu hadapan setelah sekian lama terpinggir akibat kecederaan yang dialaminya.

Difahamkan, Liverpool telah menghantar surat rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Mesir merehatkan Salah daripada aksi antarabangsa supaya pemulihan pemain itu berjalan lancar.

Bagaimanapun, surat berkenaan tidak diendahkan kerana Salah yang menjadi ayam tambatan Mesir tetap berada dalam senarai pemain yang dipanggil untuk menguatkan pasukan itu.

Mesir akan bertemu New Zealand pada 22 Mac ini dalam satu aksi persahabatan berbentuk pertandingan yang akan dianjurkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kami telah menerima surat dari Liverpool untuk mengecualikan Salah dari kem kebangsaan ekoran kecederaannya. Ini kerana kami telah menyenaraikan penyerang itu bagi kem kebangsaan skuad Mesir pada bulan Mac ini.”

“Ini adalah hak kami dalam memanggil mana-mana pemain sewaktu tugasan antarabangsa dan keputusan untuk memanggil atau menarik balik nama Salah bergantung kepada staf teknikal pasukan Mesir, Hossam Hassan.

“Masih terlalu awal untuk membuat keputusan, kami akan memeriksa keadaan beliau dan mendengar nasihat daripada pegawai perubatan pasukan Mesir kelak” kata Persatuan Bola Sepak Mesir.

Untuk rekod, Liverpool kini dalam misi penting memburu kejuaraan memandangkan pasukan tersebut berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) di depan City di tangga kedua dan Arsenal di kedudukan ketiga.-AGENSI

Kehadiran Salah pastinya ditagih oleh Klopp selepas Liverpool ketika ini dihujani dengan krisis kecederaan pemain sehinggakan memaksa pengendali Jerman menyenaraikan beberapa pemain muda.-AGENSI