London: Bekas bintang Belgium, Thomas Meunier, menyifatkan perpindahannya ke Sunderland sebagai peluang untuk membuka ‘lembaran baharu’ selepas menandatangani kontrak dengan kelab Liga Perdana Inggeris itu secara percuma, semalam.
Pertahanan berusia 34 tahun itu menandatangani perjanjian selama dua tahun bersama Sunderland selepas meninggalkan kelab Ligue 1, Lille.
Meunier antara anggota generasi emas Belgium yang pernah mencipta sejarah sebelum kempen terakhir mereka berakhir dengan penyingkiran pada suku akhir Piala Dunia 2026 selepas tewas kepada Sepanyol.
Pemain yang sudah 83 kali menyarung jersi Belgium itu mempunyai pengalaman luas di pentas tertinggi selepas pernah beraksi dalam liga Belgium, Jerman, Turkiye dan Perancis.
“Saya sangat teruja dan berbesar hati untuk menyertai Sunderland. Saya sangat gembira berada di sini dan memulakan babak baharu dalam karier saya,” kata Meunier menerusi kenyataan di laman rasmi Sunderland.
Menurutnya, Liga Perdana adalah antara liga paling kompetitif dan menarik di dunia selain menjadi cabaran yang ingin dirasainya sebagai pemain.
“Apabila saya bercakap dengan kelab, saya kagum dengan cita cita, projek serta keinginan mereka untuk terus bergerak ke hadapan.
“Beraksi dalam pertandingan Eropah (Liga Europa) juga menjadi faktor besar dalam keputusan saya kerana sebagai pemain, anda sentiasa mahu menguji diri menentang pasukan terbaik dan bersaing merebut trofi,” katanya.
Meunier sebelum ini menikmati tempoh cemerlang bersama Paris Saint Germain antara 2016 hingga 2020 apabila membantu kelab gergasi Perancis itu memenangi tiga kejuaraan Ligue 1.
Pengarah bola sepak Sunderland, Florent Ghisolfi, menyifatkan kehadiran Meunier sebagai tambahan penting buat skuad itu menerusi pengalaman, kepimpinan dan profesionalisme yang dimilikinya.
“Thomas adalah pemain yang memahami apa yang diperlukan untuk bersaing demi kejayaan. Kami yakin mentaliti dan karakternya akan memberi pengaruh positif kepada skuad.
“Kami percaya dia akan memberikan sumbangan penting di dalam dan luar padang. Ia satu gandingan yang sangat sesuai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




