harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Batalion Ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja (9 RAMD) Para mempamerkan keupayaan unit infantri payung terjun elit negara apabila melaksanakan Majlis Serah Terima Tugas pada ketinggian 3,048 meter di ruang udara, Ahad lalu.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, majlis itu membabitkan penyerahan tongkat kuasa daripada Pegawai Memerintah Ke-30 Leftenan Kolonel Salmuazhari Md Salleh kepada Pegawai Pemerintah Ke-31 Leftenan Kolonel Mohamad Fazrul Mohamad Fadir.
Lebih manis, aksi penyerahan disaksikan sendiri Panglima 10 Briged Para, Mejar Jeneral Datuk Khairul Anwar Soib yang turut sama melakukan terjunan serta diiringi sekumpulan pegawai dan anggota 9 RAMD Para lain.
“Keunikan pelaksanaan serah terima tugas di udara ini bukan sahaja melambangkan keperwiraan, keberanian, profesionalisme dan semangat juang malah menjadi satu catatan sejarah.
“Ia merupakan upacara pertama seumpamanya melibatkan Pegawai Memerintah yang disaksikan sendiri oleh Panglima 10 Briged (Para),” menurut kenyataan ATM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




