firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi lampu hijau buat Johor Darul Ta’zim (JDT) menurunkan tiga pemain yang digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini.
Tiga pemain berkenaan iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel adalah pemain utama JDT dalam saingan domestik.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan MFL, badan penganjur liga tempatan itu menerima pemakluman daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Dalam keputusan CAS itu, tujuh pemain Harimau Malaya yang digantung termasuk Figueiredo, Irazabal dan Hevel dibenarkan beraksi buat sementara sebelum keputusan rasmi berhubung penggantungan 12 bulan yang dibuat FIFA, September lalu diputuskan.
Jelas MFL, kebenaran beraksi buat tiga pemain JDT itu hanyalah untuk Liga Malaysia (Liga M).
“MFL hari ini mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi daripada FAM berhubung keputusan FIFA untuk menangguhkan penggantungan terhadap tujuh pemain warisan di peringkat domestik dan benua secara serta-merta.
“Daripada tujuh pemain terlibat, tiga pemain daripada kelab JDT iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel kembali dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia susulan keputusan CAS untuk membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution),” kata kenyataan itu.
Ini bermakna, ketiga-tiganya boleh diturunkan apabila skuad Harimau Selatan dijadual menentang Imigresen FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




