Biarpun sudah menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada usia 24 tahun, Dr Shatesh Kumar Sangar, 31, membuktikan bahawa pencapaian akademik tertinggi bukanlah noktah kepada perjalanan menuntut ilmu sebaliknya membuka ruang untuk meneroka bidang baharu.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh, Perak itu kini melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Hal Ehwal Antarabangsa di King’s College London, United Kingdom (UK), sekali gus merealisasikan impian yang sekian lama disimpan.

Menerusi perkongsian di media sosial, beliau berkata King’s College London sentiasa menjadi antara impian hidupnya dan peluang melanjutkan pengajian di institusi berkenaan merupakan satu pencapaian yang amat bermakna.
“King’s College London sentiasa menjadi salah satu impian saya dalam hidup. Dan akhirnya, saya berjaya berada di sini. Impian yang tertangguh bukan bermakna impian itu tidak akan tercapai,” katanya.

Lebih menarik, Shatesh yang memiliki latar belakang akademik dalam bidang sains dan kimia memilih untuk keluar daripada zon selesa dengan mendalami bidang berbeza yang memberi tumpuan kepada geopolitik, peperangan zon kelabu dan konflik moden.
Beliau menjelaskan, meskipun memiliki PhD dalam bidang kimia dengan penyelidikan memfokuskan kepada penghasilan biofuel, minat dan perjalanan kerjayanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin menjurus kepada politik, dasar awam dan hal ehwal antarabangsa.
“Ya, saya sudah memiliki PhD dalam bidang Kimia, dengan penyelidikan yang memfokuskan kepada penghasilan biofuel. Saya menamatkan pengajian PhD ketika berusia 24 tahun.
“Jadi, kenapa saya kembali ke universiti dan memulakan pengajian dalam bidang yang sama sekali berbeza? Jawapannya mudah, kerana proses menuntut ilmu tidak sepatutnya terhenti,” ujarnya.

Menurutnya, minat semata-mata tidak mencukupi untuk membolehkannya memberikan sumbangan bermakna dalam bidang yang diceburi sebaliknya perlu disertai usaha berterusan untuk memperluas pengetahuan serta memahami pelbagai perspektif.
“Jika saya mahu memberikan sumbangan yang bermakna, saya perlu terus menambah ilmu, mencabar cara saya berfikir, memahami perspektif yang berbeza dan mendalami pemahaman tentang bagaimana dunia ini sebenarnya berfungsi.
“Sebab itulah saya memilih bidang Hal Ehwal Antarabangsa,” katanya.
Mengulas pengajaran daripada perjalanan akademiknya, Shatesh turut mengingatkan orang ramai supaya tidak takut memulakan sesuatu yang baharu walaupun sudah memiliki kelayakan tinggi atau berada pada usia yang dianggap lewat untuk kembali belajar.

Beliau berkata, kelayakan akademik yang dimiliki tidak seharusnya menjadi penghalang untuk seseorang meneroka bidang lain, apatah lagi jika perubahan itu dapat membantu mengembangkan potensi diri.
“Jangan takut untuk memulakan sesuatu dari awal. Jangan biarkan usia menghalang anda dan jangan biarkan kelayakan yang dimiliki menentukan apa yang boleh anda pelajari seterusnya.
“Jangan fikir anda perlu kekal dalam satu bidang sepanjang hayat dan jangan sesekali takut untuk kembali menjadi orang baharu yang sedang belajar,” kongsi beliau.
Tambahnya, pendidikan bukanlah satu perlumbaan yang mempunyai garisan penamat, malah proses berterusan yang membolehkan seseorang terus berkembang dan memahami dunia dengan lebih mendalam.




