
Punithan pada sidang akhbar selepas Mesyuarat MIPP Johor di Iskandar Puteri.
ISKANDAR PUTERI – Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) sedia menawarkan diri menjadi orang tengah antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi meredakan kemelut antara kedua-dua parti sejak kebelakangan ini.
Presidennya, S P Punithan berkata, sebagai komponen dalam Perikatan Nasional (PN), MIPP melihat sebarang perbezaan pandangan perlu diselesaikan melalui saluran dalaman demi memelihara kestabilan dan perpaduan gabungan itu.
Menurut beliau, pihaknya tidak mahu polemik yang berlarutan memberi persepsi negatif kepada rakyat sehingga menjejaskan keyakinan terhadap PN.
“Saya lihat banyak kenyataan dikeluarkan individu daripada kedua-dua parti, Pas dan Bersatu. Tetapi kenyataan itu bukan daripada kepimpinan tertinggi mereka. Di peringkat atas, suasana dan kerjasama adalah sangat baik dan harmoni.
“Mungkin ada isu-isu yang timbul tetapi kami rasa ia boleh dibincangkan. Sebagai Timbalan Pengerusi PN, saya anjurkan kedua-dua pihak agar duduk berbincang berkenaan senario yang sedang berlaku.
“Kita tidak mahu lihat ada isu berbangkit dalam gabungan ini sehingga mengikis kepercayaan masyarakat kepada PN. Kita tidak mahu itu berlaku, jadi MIPP akan ambil pendekatan sebagai orang tengah,” katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat MIPP Johor di sini pada Ahad.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa MIPP Johor, Dr S Saswin.
Terdahulu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memberi bayangan bahawa Pas dan Bersatu perlu bergerak secara berasingan menjelang pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, keputusan itu susulan kenyataan seorang pemimpin Bersatu di Melaka yang membuat kenyataan menyindir Pas.



