sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek mengingatkan barisan pemain perseorangan lelaki negara bahawa cabaran di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bukan mudah berikutan persaingan sengit daripada pemain terbaik benua itu.
Misbun berkata, peluang untuk pemain negara memburu pingat tetap ada, namun keputusan positif secara konsisten perlu dibuktikan terlebih dahulu bagi membolehkan mereka tampil sebagai pencabar di pentas berkenaan.
“Kalau ikutkan untuk pingat itu, saya pun tidak boleh nak cakap banyak. Tetapi saya sentiasa mendoakan, mudah-mudahan mereka boleh sampai ke tahap itu.
“Tetapi untuk menjadi pencabar, Asia kali ini bukan mudah keran rantau Asia ini semuanya sangat sengit. Bukan mudah,” katanya.
Menurut bekas jurulatih perseorangan negara itu, pemain yang mahu mencabar pingat di temasya berkenaan perlu terlebih dahulu menunjukkan keupayaan menerusi keputusan diraih secara berperingkat.
“Melainkan anda sudah dapat keputusan sebelum ini sedikit demi sedikit, maka okeylah.
“Tetapi sekarang anda belum nampak lagi keputusannya, jadi macam mana anda mahu dapatkan satu keputusan yang baik di situ?” katanya.
Misbun sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan terhadap prestasi semasa perseorangan lelaki negara yang disifatkannya masih belum berada pada tahap diperlukan untuk mencabar pemain handalan dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd
