saadiah_ismail@bh.com.my
Kuala Lumpur: Permohonan pengampunan terbaru Datuk Seri Najib Razak menjadi antara perkara yang diberi perhatian pada mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) yang dijangka dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, esok.
Beberapa perkara yang menjadi perhatian ialah kemungkinan isu tahanan rumah dibangkitkan, susulan permohonan Najib sebelum ini yang mendakwa wujud titah tambahan berkaitan baki hukuman penjara yang perlu dijalaninya.
Namun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi sama ada mesyuarat berkenaan akan membuat keputusan terhadap permohonan itu atau sekadar membincangkan perkara berkaitan.
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ikmal Hisham Md Tah berkata, LPWP boleh mempertimbangkan beberapa faktor dalam menilai permohonan pengampunan, termasuk tempoh hukuman yang sudah dijalani, kelakuan dalam penjara, keinsafan, umur, kesihatan, faktor kemanusiaan, kesepadanan hukuman, sumbangan kepada negara dan kepentingan awam.
“Menurut Perkara 42 (9), LPWP juga diwajibkan mempertimbangkan pendapat bertulis Peguam Negara sebelum memberikan nasihat.
“Namun, skop permohonan mesti dijelaskan. Jika hanya membabitkan SRC, sabitan itu sudah muktamad, tetapi jika terkait sabitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih dalam proses rayuan, proses kehakiman sewajarnya diselesaikan terlebih dulu,” katanya.
Najib kini menjalani hukuman penjara susulan sabitan terhadap tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan berkenaan dan hukuman asal 12 tahun penjara serta denda RM210 juta.
Pada 29 Januari 2024, LPWP memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara berkenaan sebanyak separuh kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Keputusan itu diumumkan pada 2 Februari 2024, dengan tarikh pembebasan Najib ditetapkan pada 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Menjelaskan lebih lanjut, Ikmal Hisham berkata, Perkara 42 tidak menetapkan bahawa kuasa pengampunan hanya boleh digunakan sekali bagi sesuatu sabitan.
“Baki hukuman SRC masih boleh dipertimbangkan untuk pengampunan, pengurangan, penangguhan atau komutasi selanjutnya.
“Namun, dari sudut tadbir urus, pertimbangan kali kedua sewajarnya berdasarkan faktor atau perubahan keadaan yang baharu, bukan sekadar pengulangan permohonan sehingga keputusan tertentu diperoleh,” katanya.
Persoalan lain yang bakal menjadi perhatian ialah bentuk keringanan yang mungkin dipertimbangkan sekiranya permohonan berkenaan dibincangkan LPWP.
Jelas beliau lagi, pengampunan boleh melepaskan seseorang daripada keseluruhan atau baki hukuman, manakala pengurangan atau remisi hanya memendekkan tempoh atau mengurangkan jumlah hukuman.
“Komutasi pula menggantikan hukuman dengan bentuk hukuman yang lebih ringan, manakala tahanan rumah mengubah cara dan tempat hukuman dilaksanakan.
“Tahanan rumah bukan semata-mata pengurangan hukuman. Walaupun boleh dihujahkan sebagai satu bentuk komutasi, Perkara 42 tidak menyebut tahanan rumah secara nyata.
“Oleh itu, keputusan sedemikian memerlukan proses yang sempurna serta mekanisme undang-undang yang jelas untuk pengawasan dan penguatkuasaan,” katanya.
Isu tahanan rumah sebelum ini turut menjadi sebahagian daripada pertikaian undang-undang memandangkan setakat hari ini, negara masih tidak mempunyai undang-undang berkaitan tahanan rumah.
Pada 22 Disember 2025, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah selepas mendapati titah tambahan berkenaan tidak mempunyai kesan undang-undang yang sah, antaranya ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat LPWP pada Januari 2024.
Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu, laporan mengenai mesyuarat LPWP esok kembali mencetuskan persoalan sama ada baki hukuman Najib akan dipertimbangkan semula dan apakah bentuk keringanan yang mungkin diputuskan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
